Baru-baru ini, tular di media sosial tentang satu penawaran tiket penerbangan percuma ke negara jiran dengan syarat, mereka yang inginkan tiket tersebut perlu mengirim beberapa barang ke sana. Tawaran sebegini mungkin kelihatan sangat menarik dan menggoda terutamanya bagi golongan muda.
Mungkin ramai orang fikir yang tindakan tolong pegang atau bawakan beg orang lain di airport ini perkara kecil je. Bagus sebenarnya ada niat ikhlas nak tolong orang, tapi sebenarnya tindakan ni boleh membuka pintu kepada pelbagai risiko yang ramai tak sedar.
Memang tak dapat dinafikan memang ada saja orang betul-betul perlukan bantuan. Namun disebabkan kita pun tak tahu asal-usul dan niat sebenar mereka, maka cubalah elak daripada menjadi mangsa kepada perkara yang tak dijangka.
Tapi kenapa sebenarnya kita tak patut bawakan bagasi orang lain? Jom fahami sebabnya.
Artikel Berkaitan: Warga Malaysia Terlepas Hukuman Gantung Di Mahkamah Singapura Sebab Jadi Keldai Dadah, Ini Alasan Hakim… – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: “Tiba-tiba dia kata aku anak dia” – Wanita Hampir Jadi Mangsa ‘Keldai Dadah’ Orang ‘Overfriendly’ Duduk Sebelah – Lobak Merah
Risiko undang-undang dan jenayah

Sebenarnya dah banyak kes berlaku, di mana penumpang bersetuju untuk membawa bagasi orang lain dan tanpa sedar mereka rupanya membantu penjenayah mengangkut barang larangan.
Sekali korang bersetuju nak bawakan bagasi orang lain tanpa tahu isi beg tersebut, risiko yang boleh berlaku adalah korang berkemungkinan disiasat oleh pihak berkuasa, ditahan untuk soal siasat dan yang paling teruk disyaki menjadi keldai dadah!
Keldai dadah ni merujuk kepada individu yang membawa dadah bagi pihak orang lain, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Di lapangan kapal terbang, kes seperti ini sebenarnya sudah biasa berlaku, yang mana individu menjadi keldai dadah tanpa sedar hanya disebabkan mereka berniat baik nak membantu bawakan bagasi orang asing.
Walaupun korang tak tahu isi sebenar dalam beg tersebut, undang-undang boleh menuntut korang untuk bertanggungjawab terhadap dadah tersebut. Bagi kes yang serius, keldai dadah boleh dikenakan hukuman berat seperti hukuman penjara.
Menurut portal Vietnam, pada tahun 2017, seorang warga Australia-Vietnam bernama Pham Trung Dung telah dijatuhkan hukuman berat kerana membawa 3.5kg dadah tanpa mengetahui isi bagasi yang dibawanya.
Begitu juga dengan Pimtanatanasuk Kettawan yang dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup hanya kerana dia gagal membuktikan yang dia betul-betul tak tahu membawa dadah yang disorokkan dalam kasut dan begnya.
Negara Malaysia juga pernah berdepan dengan situasi sebegini juga di mana individu ini tak sengaja terlibat dengan barangan terlarang hanya kerana bersangka baik dengan orang asing.
Menurut Mingguan Wanita, seorang wanita berkongsi pengalaman anaknya yang hampir diminta membawa dua tin Milo oleh seorang wanita warga asing sehingga melepasi pemeriksaan imigresen.
Dia segera menghalang anaknya kerana teringat kisah kawannya, di mana anaknya diberi patung mainan oleh orang asing yang rupanya mengandungi dadah. Walaupun kawannya terselamat tanpa hukuman berat, pengalaman itu jelas mengingatkan bahawa jangan mudah bersangka baik dengan orang asing di lapangan terbang.
Kes-kes ini menunjukkan yang niat baik sahaja tak cukup untuk membuktikan yang korang tak sengaja menjadi liabiliti jenayah.
Risiko keselamatan

Selain risiko undang-undang, membawa bagasi orang lain di airport juga dikira sebagai ancaman keselamatan.
Beg yang ditinggalkan atau diserahkan kepada orang yang tidak dikenali boleh mengandungi bahan berbahaya seperti bom atau benda yang menimbulkan risiko kepada orang lain.
Lapangan terbang adalah tempat yang mudah untuk dijadikan sasaran strategik untuk serangan, jadi pihak keselamatan akan selalu perhatikan setiap orang dan beg yang mencurigakan.
Walaupun risiko untuknya berlaku agak kecil, tapi kita memang disarankan untuk tidak memegang atau membawa bagasi orang lain tanpa sebab yang jelas kerana kita takkan tahu andai kata kalau nasib tidak berpihak pada kita nanti.
Berdosa bagi yang beragama Islam

Bagi yang beragama Islam, membawa barang orang tanpa mengetahui kandungannya termasuk dalam kategori syubhah, iaitu perkara yang meragukan.
Menurut Waktu Solat Malaysia, Rasulullah SAW pernah bersabda dalam hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim.
Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Antara keduanya ada perkara syubhah…”
Perbuatan membawa barang orang tanpa mengetahui kandungannya boleh menjadi bantuan kepada dosa walaupun tanpa sengaja andai kata bahan dalam bagasi berikut adalah bahan terlarang atau berisiko tinggi yang boleh ditangkap oleh pihak berkuasa.
Kaedah fiqh Sadd az-Zari’ah dan prinsip Dar’ul Mafasid menekankan bahawa kalau tindakan yang dianggap biasa atau remeh tapi sebenarnya berpotensi membawa kemudaratan, maka lebih baik ia dielakkan.
Nak buat apa kalau orang minta tolong?

So, kalau ada sosok yang tidak dikenali minta korang untuk memegang atau bawakan bagasinya, langkah paling selamat ialah untuk tidak melakukannya secara langsung dan terus hubungi kakitangan lapangan terbang, pihak keselamatan atau syarikat penerbangan untuk bantuan.
Kakitangan lapangan terbang juga sebenarnya sudah dilatih untuk membantu penumpang, jadi korang tak perlu risau untuk minta bantuan daripada pihak penerbangan sendiri.
Selain itu, semua penumpang sepatutnya bertanggungjawab ke atas bagasi masing-masing. Jangan mudah sangat percaya dengan orang yang berpura-pura memerlukan bantuan, termasuklah mereka yang nampak tua, wanita hamil atau anak kecil sekalipun.
Jadi walaupun nampak macam tolong orang ni perkara biasa, percayalah risiko sebenar boleh jadi besar. Barang yang ditinggalkan atau diserahkan kepada korang tanpa pengetahuan sebenar boleh mengandungi bahan terlarang macam dadah atau apa-apa benda berbahaya lain.
Sekali tersilap, korang sendiri yang akan ditahan dan disiasat oleh pihak berkuasa. Oleh itu, janganlah ambil risiko hanya sebab ikhlas nak tolong, buat baik pada orang pun perlu berpada-pada juga sebenarnya.
Sumber: Kosmo!

4 days ago
16






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















