Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) berjaya memerangkap seekor harimau kumbang jantan di kawasan Bukit Bangkong, Perak, awal pagi tadi hasil operasi pemantauan yang dijalankan sejak awal Disember lalu.

Perangkap berkenaan dipasang pada 9 Disember susulan laporan serangan haiwan liar yang dipercayai membaham ternakan lembu di kawasan berkenaan, dengan sasaran utama operasi ialah harimau belang berdasarkan bukti tapak kaki dan rakaman kamera jejak.
Haiwan yang memasuki perangkap itu dikenal pasti sebagai harimau kumbang jantan berusia sekitar tiga tahun dengan berat kira-kira 40 kilogram. Pemeriksaan mendapati haiwan berkenaan berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Harimau kumbang tersebut kemudiannya dibawa keluar dari kawasan kejadian dan akan dilepaskan semula ke habitat asal yang lebih sesuai bagi memastikan keselamatan penduduk serta kelestarian hidupan liar.
Pihak PERHILITAN turut menasihatkan penduduk sekitar Bukit Bangkong agar mengelakkan sebarang aktiviti di kawasan berkenaan, khususnya pada waktu malam, memandangkan ancaman harimau belang masih wujud.

Terdahulu, pada 8 Disember lalu, penduduk setempat dikejutkan dengan serangan haiwan liar yang mengakibatkan dua ekor lembu mati manakala lima ekor lagi dilaporkan hilang, mendorong PERHILITAN memasang perangkap dan kamera jejak bagi menjejaki pemangsa terbabit.
Sumber: Buletin TV3
Baca: Dua Ekor Lembu Ditemui Mati Dengan Kesan Gigitan Akibat Serangan Harimau Di Bukit Bangkong

11 hours ago
4
































:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















