7vape

Individu yang didapati menghisap rokok elektronik atau vape di Pahang boleh dikenakan tindakan denda dan hukuman penjara bermula tahun ini susulan penguatkuasaan fatwa pengharaman penggunaan vape di negeri berkenaan.

Larangan itu dibuat berdasarkan ketetapan Majlis Fatwa Pahang yang telah diluluskan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri serta mendapat perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Jun tahun lalu.

Mengikut peruntukan Enakmen Jenayah Syariah Pahang 2013, individu yang didapati melanggar fatwa tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau hukuman penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, selaras dengan Seksyen 13(c) enakmen berkenaan.

Pengharaman penggunaan vape itu turut mengambil kira titah Sultan Pahang pada November 2024 yang menzahirkan kebimbangan terhadap kesan rokok elektronik, khususnya dalam kalangan golongan muda, yang dikaitkan dengan peningkatan risiko ketagihan bahan terlarang secara langsung atau tidak langsung.

Screenshot 2026 01 11 at 11.31.23 AM

Kerajaan negeri sebelum ini telah bersetuju melaksanakan pengharaman menyeluruh penggunaan vape di Pahang bermula tahun ini selepas fatwa berkenaan dikemukakan oleh Pejabat Mufti Pahang dan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Mei lalu.

Keputusan itu menandakan komitmen kerajaan negeri dalam menangani isu kesihatan dan sosial berkaitan penggunaan rokok elektronik, selain memperkukuh pelaksanaan undang-undang syariah selaras dengan dasar dan perkenan Raja Pemerintah negeri.

Sumber: Malaysia Kini

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.