Dalam lawatan rasmi ke Turkiye bagi memperkukuhkan kerjasama dua hala antara dua negara, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengambil kesempatan untuk menziarahi makam Presiden Turki yang pertama iaitu Mustafa Kemal Ataturk.
Lawatan itu dibuat atas tujuan memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan, pelancongan, kerjasama, dan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Turkiye.
Walau bagaimanapun, kunjungan beliau itu secara tidak langsung menarik perhatian ramai orang memandangkan Mustafa Kemal Ataturk ini merupakan tokoh yang mempunyai sejarah pemerintahan panjang dan kompleks.
Walaupun dikenali sebagai tokoh yang membentuk Turkiye moden, dasar pemerintahan Mustafa Kemal Ataturk pada suatu ketika dahulu mencetuskan pelbagai perdebatan, menyebabkan namanya kekal menjadi sebutan hingga kini.
Tapi siapa sebenarnya Mustafa Kemal Ataturk ni?
Artikel Berkaitan: “Mantaplah orang Turki!” – Ramai Teruja Lihat PMX Layan Lagu Azizah, Hebat Berkumandang Di Türkiye – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: Ramai Salah Faham Isu Letak Bunga Di Kubur Ataturk, PMX Tampil Beri Penjelasan – Lobak Merah
Latar belakang Mustafa Kemal

Mustafa Kemal dilahirkan di Thessaloniki pada tahun 1881. Beliau merupakan pengasas dan presiden pertama Republik Turkiye.
Tapi pada awal kehidupannya, Mustafa Kemal sebenarnya dihantar ke madrasah, tetapi beliau tidak menyukainya dan selalu melawan gurunya.
Ketika beliau berumur 12 tahun, beliau mula memasuki ke Sekolah Tentera Salonika dan meneruskan pelajarannya di Akademi Tentera Monasitar. Kemudian, beliau menyambung akademi tentera di Istanbul dan menamatkan latihan ketenteraannya serta ditugaskan di Kem Tentera Batalion di Salonika.
Di sinilah titik permulaan beliau dalam memerangi pemerintahan Khalifah Uthamaniyyah. Reformasi yang diperkenalkan oleh beliau pada awal abad ke-20 telah mengubah Turkiye daripada sebuah masyarakat Islam tradisional kepada sebuah negara sekular.
Namun, perubahan besar ini bukan sahaja membentuk Turkiye moden, malah ia turut mencetuskan perdebatan panjang yang berterusan hingga ke hari ini.
Kejatuhan Empayar Uthmaniyyah

Reformasi beliau bermula daripada kejatuhan Empayar Uthmaniyyah dan saat-saat terdesak untuk membina sebuah negara baharu yang stabil dan moden.
Selepas kekalahan Uthmaniyyah dalam Perang Dunia Pertama dan termeterainya Perjanjian Sèvres yang menindas Turkiye, kepercayaan rakyat terhadap Sultan Mehmed VI pun semakin merosot. Mustafa Kemal yang tidak berpuas hati dengan keadaan itu mengambil inisiatif untuk memimpin gerakan penentangan.
Dengan berpangkalan di Ankara, beliau mengumpulkan sokongan golongan nasionalis dan tentera serta menubuhkan Grand National Assembly (GNA) sebagai badan perwakilan rakyat. Melalui GNA, Mustafa Kemal memainkan peranan utama dalam Perang Kemerdekaan Turkiye bagi mengusir kuasa asing dan mempertahankan tanah air.
Hasil perjuangan tersebut, Empayar Uthmaniyyah akhirnya dibubarkan dan Perjanjian Lausanne pada tahun 1923 berjaya mengiktirafkan kedaulatan Turkiye di peringkat antarabangsa, sekaligus dapat mengembalikan maruah negara serta satukan semula wilayah Turkiye.
Pada 29 Oktober 1923, Republik Turkiye akhirnya diisytiharkan dan Mustafa Kemal dilantik sebagai presiden pertamanya. Atas sumbangan besar dalam membebaskan negaranya ditindas dan usahanya dalam membina Turkiye moden, beliau menerima gelaran Atatürk yang bermaksud ‘Bapa Rakyat Turkiye’.
Persoalannya, apa sebenarnya yang menjadikan beliau antara figura yang masih diperkatakan sehingga hari ini?
Mengubah negara Islam menjadi negara sekular

Maksud agama sekular di sini adalah kerajaan tidak memihak kepada mana-mana agama. Dalam sistem sekular, individu bebas untuk menganut atau tidak menganut agama tanpa paksaan.
Mustafa Kemal merasakan yang sekularisme adalah asas untuk membentuk masyarakat moden, demokrasi dan kebebasan individu. Menurutnya, hanya dengan memisahkan agama daripada politik, Turkiye boleh berkembang menjadi negara yang progresif dan stabil.
Pelaksanaan agama sekularisme ini dilakukan secara berperingkat iaitu dengan memansuhkan sistem khalifah, menggantikan undang-undang syariah kepada undang-undang sivil yang berasaskan model Eropah serta membentuk kerajaan sekular.
Sistem pendidikan turut dirombak dengan menekankan sains, teknologi dan pemikiran moden. Pendidikan agama juga dikeluarkan daripada sekolah awam, manakala penggunaan tulisan Arab turut digantikan dengan abjad Latin bagi memudahkan pembelajaran dan penyatuan semua rakyat.
Mengubah gaya hidup masyarakat
Masjid Ayasophia kini kembali menjadi masjid selepas 86 tahunSelain memperkenalkan reformasi besar yang mengubah struktur politik dan sosial Turkiye secara menyeluruh, beliau juga memperkenalkan dasar yang mengubah amalan dan gaya hidup masyarakat.
Beliau mula mewajibkan pakaian Barat ke atas rakyatnya sehinggakan pemakaian tradisi dan keagamaan dihadkan. Beberapa masjid juga diarahkan untuk tutup atau ditukar fungsinya, menjadikan aktiviti keagamaan dikawal rapi oleh negara.
Antara contoh masjid yang diubah fungsinya adalah Masjid Ayasophia yang telah dijadikan sebagai muzium serta beberapa masjid yang dijadikan sebagai gereja.
Wanita pula digalakkan mengamalkan gaya hidup moden seperti wanita yang bertudung perlu memakai skirt. Selain itu, wanita juga digalakkan untuk menari bersama lelaki bersama-sama di khalayak ramai.
Perkara ini menjadikan seolah-olah mereka diwajibkan untuk membuang ajaran agama Islam tradisional seperti di zaman Empayar Uthamaniyyah.
Meninggal dunia pada 10 November 1938

Mustafa Kemal meninggal dunia pada 10 November 1938 di Istanbul pada usia 57 tahun setelah bertarung dengan masalah kesihatan yang serius.
Doktor mengesahkan bahawa beliau menghidap sirosis hati, iaitu keadaan di mana tisu hati rosak dan tidak boleh berfungsi dengan baik yang dipercayai berpunca daripada gaya hidupnya yang kuat bekerja, merokok dan kerap minum minuman keras tanpa henti sejak bertahun-tahun sebelum itu.
Pada awalnya, Mustafa Kemal dikatakan tidak menghiraukan penyakitnya meskipun sudah didiagnosis pada bulan Januari 1938. Pada bulan Mac tahun yang sama, beliau menghidap pneumonia dan menjelang Jun, keadaannya semakin lemah sehingga hampir tidak mampu untuk berdiri.
Namun ramai rakyat Turkiye berasa sangat sedih setelah pemergian beliau. Pada mulanya, jenazahnya disemadikan di Muzium Etnografi Ankara sebelum dipindahkan ke makam nasional di Ankara pada tahun 1953.
Menurut Euronews, sebahagian besar rakyat Turki masih menghargai Mustafa Kemal sebagai tokoh penting dalam sejarah negara. Dalam satu tinjauan, sekitar 64-68% rakyat Turkiye berkata mereka berterima kasih atau percaya beliau telah meninggalkan impak besar ke atas sejarah Republik Turkiye meskipun sebahagian lain masih mempertikaikan cara pendekatan pemerintahannya.
Sumber: Muslim Skeptic, History Today, Alternatif

19 hours ago
6



![[VIDEO] Ketua Sindiket Scam Siber Chen Zhi Ditahan Di Kemboja, Kini Diekstradisi Ke China](https://lobakmerah.com/wp-content/uploads/2026/01/ketua-scam-cambodia.png)


























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















