3antibuli

Penubuhan Tribunal Antibuli bakal direalisasikan dalam masa terdekat selepas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menandatangani Akta Antibuli 2026 dalam satu istiadat di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur, hari ini.

Screenshot 2026 01 10 at 11.54.49 AM

Melalui akta berkenaan, sebuah tribunal khas akan diwujudkan sebagai badan kuasi-kehakiman bagi menerima, mendengar dan memutuskan aduan berkaitan kes buli, termasuk memberi perintah serta pampasan yang bersesuaian demi pembelaan dan keadilan kepada mangsa.

Akta Antibuli 2026 yang digubal dan diluluskan Parlimen pada 3 Disember lalu bertujuan menyediakan mekanisme khusus bagi menangani kes buli melibatkan semua mangsa seperti yang diperuntukkan di bawah akta tersebut, merangkumi pelbagai bentuk kemudaratan fizikal, psikologi dan sosial.

Pelaksanaan akta itu turut memberi kuasa kepada beberapa kementerian dan agensi termasuk Kementerian Pendidikan, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kementerian Pertahanan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Dalam Negeri untuk mengurus dan menyelia kes buli di bawah bidang kuasa masing-masing, termasuk di institusi pendidikan dan institusi berkaitan.

Screenshot 2026 01 10 at 11.54.40 AM

Selain itu, tribunal berkenaan diberi kuasa mengeluarkan perintah pampasan, arahan permohonan maaf, pembayaran balik perbelanjaan munasabah serta penghapusan kandungan berkaitan buli daripada platform digital, sekali gus memperkukuh usaha kerajaan dalam membanteras budaya buli secara menyeluruh di negara ini.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.