jual piza wagyu dikompaun

Mereka yang mahu berniaga di kawasan awam perlu mendapatkan lesen sah sebelum memulakan perniagaan.

Lesen bukan sekadar dokumen formal, tetapi penting bagi memastikan keselamatan, kebersihan, kawalan jumlah peniaga dan keadilan kepada mereka yang membayar sewa dan tapak secara sah.

Pihak berkuasa boleh mengenakan tindakan sekiranya gagal mematuhi peraturan tersebut seperti yang dilakukan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), baru-baru ini.

Seorang usahawan dan juga pempengaruh media sosial dikenakan kompaun dari MPAJ kerana menjual piza wagyu tanpa lesen dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah di Ampang, Kuala Lumpur.

Artikel berkaitan: Didakwa Mengganggu Ketenteraman Awam, Netizen Buat Aduan Terhadap Perniagaan Piza Jofliam

Artikel berkaitan: Didakwa Tidak Ambil Suntikan Typhoid, Jofliam Tunjuk Bukti

MPAJ dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu diambil berikutan aktiviti penjualan tanpa lesen itu mengakibatkan gangguan awam.

492078235 18328858909162223 8597539247305909905 n

Menurutnya, satu kompaun dikeluarkan mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil MPAJ 2007 bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk terjamin.

“MPAJ sentiasa menyokong inisiatif pembangunan usahawan tempatan sebagai pemacu komuniti. Namun demikian, kami amat berharap agar semua pihak dapat mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan demi menjaga keharmonian bersama,” katanya.

Pada masa yang sama, MPAJ telah mengatur satu pertemuan dengan pihak berkaitan untuk berbincang dan mencari penyelesaian yang terbaik agar situasi seumpama ini tidak berulang dan tidak menjejaskan ketenteraman awam selain usaha membantu pembangunan usahawan tempatan sebagai langkah proaktif.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.