Seorang wanita ditemui hampir reput bersama anak perempuannya di sebuah pangsapuri yang teletak di Jalan Bukit Gambir, Georgetown, Pulau Pinang. Mangsa yang ditemui pada malam Isnin itu dikatakan mengalami tekanan emosi sejak suaminya dipenjarakan pada beberapa bulan lalu.
Menurut seorang jiran, wanita berkenaan dikatakan semakin tertekan apabila bekalan elektrik di rumah sewanya telah dipotong akibat gagal membayar bil sejak beberapa bulan lalau.
Artikel berkaitan : Didakwa Pernah Alami Kemurungan, Ini Kronologi Kes Jasad Cikgu Wanita Ditemui Reput Di Rumah
Artikel berkaitan : Remaja 15 Tahun Dilapor Hilang, Didakwa Ada Kaitan Dengan Penemuan M*yat Reput Di Banting
Jiran yang sudah tinggal di kawasan perumahan tersebut sejak 23 tahun lalu mengatakan bahawa mangsa hanya menyewa di unit berkenaan sejak beberapa bulan lalu bersama anak perempuannya.
“Saya tinggal di blok bersebelahan dan hanya tahu mengenai kejadian tersebut ketika pulang dari rumah saudara semalam. Saya pun jarang nampak dua beranak itu.
“Apa yang saya tahu, wanita itu tidak bekerja, suaminya pula dikatakan ditahan polis dan kini berada di penjara. Melihat kepada keadaan ini, dia mungkin tertekan, tambahan pula bekalan elektrik dipotong kerana gagal membayar bil.”
“Bayangkan tinggal bersama anak kecil tanpa bekalan elektrik, itu amat sukar. Bekalan makanan pun tak tahu ada atau tidak. Saya sangat simpati dengan keadaan mangsa.”
Katanya lagi, jiran lain yang duduk di blok yang sama dengan mangsa memaklumkan bahawa mereka terbau benda busuk sejak 21 Jun lalu.
“Jiran-jiran dari tingkat atas, bawah dan aras sama semua mengadu terbau busuk yang sangat kuat. Mereka sangka bau sampah atau bangkai haiwan dan telah memaklumkan kepada pihak pengurusan pangsapuri.
“Misteri bau busuk itu akhirnya terungkai pada petang semalam apabila polis menjumpai mayat wanita dan anak kecilnya di dalam bilik utama rumah.”
Tambah jiran berusia 50-an yang enggan memperkenalkan dirinya lagi, wanita tersebut jenis tidak bergaul dengan jiran dan kali terakhir dia kelihatan pada Mei lalu.
“Dia jarang dilihat di luar rumah, jika terserempak, dia hanya senyum sahaja. Kali terakhir jiran-jiran nampak dia adalah dua bulan lalu. Tak sangka dia sudah meninggal dunia dalam keadaan seperti itu.”
Sebelum ini, polis telah mengesahkan kematian dua beranak yang ditemui dalam keadaan reput di rumahnya dan polis mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 4.41 petang mengenai bau busuk yang disyaki datang dari sebuah rumah di kawasan berkenaan.
Katanya lagi, sebaik pintu rumah telah berjaya dibuka dengan bantuan bomba, pemeriksaan mendapati terdapat dua mayat reput iaitu seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan di bilik utama rumah berkenaan. Katanya, siasatan awal mendapati mangsa masing-masing berusia 40 dan dua tahun.
Sumber : Astro Awani