Nama Allahyarham Nurly Shahirah Azman yang terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke UPSI pada 9 Jum lalu mendapat perhatian ramai baru-baru ini selepas tular dakwaan yang mengatakan terdapat segelintir pihak mengambil tanah kubur dari pusara arwah untuk tujuan khurafat.
Susulan itu, perkara ini mendapat perhatian pihak berkuasa yang mana Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Aizi Saidi Abd Aziz berkata, sebarang perbuatan khurafat di kawasan kubur boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara selama tiga tahun jika disabitkan kesalahan.
Artikel berkaitan : Menteri Agama Tegur Sikap Orang Awam Ambil Tanah Kubur Mangsa Nahas UPSI Untuk Tujuan ‘Berkat’
Artikel berkaitan : Tak Halang Orang Ramai Dari Ziarah Pusara Arwah, Tapi Perlu Jaga Adab Ketika Ke Tanah Perkuburan – Bapa Nurly Sahirah
Menurutnya lagi, segala perbuatan yang bercanggah dengan hukum syarak boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 3A, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.
“Mana-mana individu yang melakukan perbomohan, sihir atau apa-apa perbuatan yang bercanggah boleh dikenakan tindakan.”
“Hukuman yang boleh dikenakan adalah denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.”
Tambah beliau, pemeriksaan dan pemantauan secara berkala oleh pihak Unit Penguat Kuasa Pejabat Agama Daerah Besut akan dijalankan untuk memastikan tiada amalan syirik atau khurafat berlaku di kawasan perkuburan tersebut.
Jumaat lepas, tular satu hantaran memperlihatkan ada pengunjung mengambil tanah kubur dan memasukkannya ke dalam poket dan plastik untuk dibawa pulang. Ia membuatkan keluarga mangsa mengambil inisiatif untuk mengelakkan perbuatan itu berulang dengan memasang tali penghadang.
Dalam pada itu, wakil keluarga turut menetapkan kunjungan ke kawasan kubur hanya dibenarkan dari jam 9 pagi hingga 6 petang, manakala tiada sebarang lawatan dibenarkan pada 2 hingga 5 Julai atas sebab tertentu.
Sumber : Sinar Harian