Baru-baru ini, tular di media sosial sebuah kemalangan bot yang mengorbankan tiga pelancong di Pulau Perhentian, Besut.
Pemandu bot yang terlibat dalam insiden tersebut direman tiga hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan kes berkaitan penyalahgunaan dadah.
Artikel berkaitan: “Dipercayai berlaku ketika kejadian ribut” – Bot Terbalik Di Pulau Perhentian, 3 Mangsa Maut
Artikel berkaitan: Cuaca Tak Menentu & Laut Bergelora, Ramai Risau Lihat Rakaman Bot Dipukul Ombak Di Pulau Tioman
Perintah reman tersebut dibenarkan Majistret Nurliyana Md. Zukri di Mahkamah Majistret di sini hari ini. Suspek berusia 22 tahun berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1957.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, ujian air kencing terhadap pemandu bot tersebut selepas berlakunya tragedi terbabit mendapati dia positif dadah jenis Benzodiazepine.
Beliau berkata, semakan juga mendapati lelaki berusia 22 tahun berkenaan juga memiliki lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Dalam insiden Sabtu lepas, kejadian pada pukul 10.30 malam itu mengorbankan dua beranak, S. Arumugam, 40; dan anaknya A. Sarrvihka, 3, serta V. R. Vennpani , 10 manakala seorang lagi, T.S Sakthivel, 6, pula masih dalam keadaan kritikal.
Sumber: Kosmo!