gaji rm5000 tidak realistik

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menganggap cadangan kadar gaji ideal bagi individu bujang dan keluarga dua anak sepatutnya berada pada paras RM5,000 ke atas dilihat tidak realistik.

Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, ia disebabkan kebanyakan majikan terutamanya sektor mikro, kecil dan sederhana (PKMS) masih bergelut untuk menstabilkan kewangan syarikat selepas pandemik Covid-19 melanda.

Menurutnya, kadar kenaikan kos operasi, gangguan rantaian bekalan global dan perubahan permintaan pengguna sukar untuk majikan menawarkan kenaikan gaji tanpa memberi kesan kepada kelangsungan perniagaan.

Artikel berkaitan: Johor Jadi Negeri Pertama Tawar Gaji Premium Bermula RM4,000 & RM5,000 – TMJ

Artikel berkaitan: “Munasabahlah” – Wanita Tegaskan Kenapa Gaji Fresh Grad Patutnya RM3000 – RM3500

WhatsApp Image 2023 09 23 at 10

Selain itu, cadangan gaji bermaruah RM5,000 ke atas itu seperti tidak mengambil kira landskap ekonomi global terutamanya pelaksanaan tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS).

“Tindakan AS mengenakan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus terhadap produk Malaysia memberi tekanan tambahan kepada daya saing eksport negara, walaupun ditangguhkan untuk tiga bulan. Ini secara langsung menjejaskan hasil pendapatan syarikat terutamanya sektor perkilangan dan eksport.

“Jika kos buruh turut meningkat mendadak, ia boleh menyebabkan pengeksport Malaysia kehilangan pasaran antarabangsa dan pelabur mencari negara yang menawarkan kos buruh lebih kompetitif,“ katanya.

Sebelum ini, penganalisis ekonomi dari UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpandangan, kadar gaji ideal dan bermaruah bagi kategori bujang mahupun keluarga yang mempunyai dua anak sepatutnya berada dalam lingkungan RM5,000 ke atas, bergantung kepada lokasi sama ada menetap di bandar atau luar bandar.

Mengikut data Jabatan Perangkaaan Malaysia (DOSM), purata perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW) bulanan bagi satu isi rumah dicatatkan sebanyak RM4,729 bagi tahun 2023.

Sumber: Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.