Sejak semalam, kes kehilangan isteri kepada seorang ahli perniagaan terkenal di Sarawak, Datin Seri Pamela Ling Yueh menjadi tumpuan orang ramai.
Menurut laporan, kehilangan Pamela dipercayai kerana telah diculik ketika dia dalam perjalanan ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 9 April lepas.
Kehilangan Pamela kini sudah lebih 20 hari
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan polis berkaitan kehilangan Pamela pada hari yang sama.
Artikel berkaitan: Seorang Wanita Dilaporkan Hilang Ketika Dalam Perjalanan Untuk Beri Keterangan Di SPRM
Berikut adalah butiran kronologi kehilangan Pamela:
9 April 2025 (Selasa)
1.29 tengah hari: Pamela memulakan perjalanan dari Jalan Cheras menggunakan perkhidmatan e-hailing Grab menuju ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.
1:52 tengah hari: Lokasi terakhir telefon bimbitnya dikesan berhampiran Lebuhraya MEX, berdekatan Pusat Bandar Putra Permai.
1:57 tengah hari: Pamela menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada peguamnya, memaklumkan beliau sedang dalam perjalanan dan dijangka tiba di SPRM pada jam 2:08 petang.
Selepas 2 petang: Panggilan dan mesej daripada keluarga serta peguamnya tidak mendapat maklum balas. Mesej WhatsApp tidak dihantar, dan panggilan tidak dijawab.
3:02 petang: Peguam Pamela membuat laporan polis di Balai Polis Presint 7, Putrajaya, mengenai kehilangannya.
Pada 10 April, peguamnya membuat laporan polis kedua di Balai Polis Seri Kembangan.
Pada Jumaat, keluarga Pamela mengeluarkan kenyataan memohon bantuan orang ramai menyalurkan sebarang maklumat mengenai keberadaan mangsa.
Keluarga mendakwa kereta e-hailing yang dinaiki Pamela dipintas tiga kenderaan tidak dikenali dan dia diarahkan masuk ke salah satu dari kereta berkenaan.
Syarikat e-hailing juga mengesahkan bahawa perjalanan terbabit telah ditandakan sebagai selesai, tetapi tiada maklumat lanjut yang diperoleh selepas itu.
Polis mengesahkan kes ini disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda bagi kesalahan menculik atau melarikan orang dengan niat mengurung secara rahsia dan salah.
Setakat semalam (4 Mei), masih tiada lagi perkembangan baharu dilaporkan dan usaha pencarian masih diteruskan.
Difahamkan, polis sudah merakam keterangan 12 individu dan mengesahkan tiada tuntutan wang tebusan diterima sepanjang kehilangan mangsa.
Latar belakang mangsa
Menurut laporan, Pamela merupakan isteri kepada Datuk Seri Thomas Hah Tiing Siu, pengasas JoinLand Group.
Syarikat JoinLand terlibat dalam pelbagai bidang perniagaan termasuk pengedaran makanan sejuk beku, pelaburan modal teroka, pembangunan hartanah, gudang berlesen awam, serta pengurusan hutan dan pertanian.
Syarikat ini juga mempunyai kepentingan perniagaan di peringkat tempatan dan antarabangsa, termasuk di Singapura, Brunei, Australia, Papua New Guinea, China, dan New Zealand.
Dalam perkembangan lain, peguam Pamela memaklumkan bahawa pasangan itu sedang melalui proses perceraian yang rumit di Malaysia dan Singapura, membabitkan harta bernilai tinggi.
Pamela dan suaminya sedang disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.
Sumber: Harian Metro, Astro Awani, Majoriti