Bank Rakyat Tawar Hadiah 10.8 Juta, Umum Jutawan Terbaharu Akaun Pelaburan-i Rizq Plus

22 hours ago 8

Bank Rakyat hari ini mengumumkan struktur hadiah dan ganjaran baharu bagi Akaun Pelaburan-i Rizq Plus untuk tahun 2026 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM10.8 juta, sekali gus bakal melahirkan empat jutawan baharu. 

Sebagai pembuka tirai cabutan tahun ini, Bank Rakyat turut mengumumkan pemenang Kategori Cabutan Jutawan Utama, iaitu Normila Hussain dari Shah Alam, yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1 juta. 

Whatsapp Image 2026 02 11 At 1.37.36 Pm 1

Selain itu, beberapa pemenang lain turut menerima hadiah emas berjumlah 900 gram. Antaranya ialah Qamarul Nazrin Harun dari Nilai yang memenangi emas seberat 500 gram, manakala empat lagi pemenang, Nasrul Anuar Ahmad dari Kangar, Mohamad Faiz Osman dari Bukit Mertajam serta Frizailah Azmi dan Afifah Shardar Ahmad dari Lembah Klang, masing-masing memenangi emas seberat 100 gram. 

Whatsapp Image 2026 02 11 At 1.37.37 Pm 1

Turut menerima ganjaran ialah Siti Azimah Awang dari Beaufort, Siti Nor Adzila Ayob dari Bahau dan Nur Diana Kamis dari Jasin, yang memenangi Pendapatan Dividen Anuiti selama lima tahun. 

Ketua Pegawai Kewangan Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria, berkata pengenalan struktur ganjaran baharu ini mencerminkan komitmen berterusan Bank untuk memupuk amalan menyimpan dan melabur secara konsisten dalam kalangan masyarakat. 

“Melalui Rizq Plus, kami bukan sahaja menawarkan peluang pelaburan patuh Syariah, malah menyediakan ganjaran bermakna kepada pelanggan. Dengan jumlah hadiah RM10.8 juta, lebih ramai pelanggan berpeluang menjadi jutawan tanpa mengira latar belakang atau jumlah pelaburan,” katanya. 

Beliau menambah bahawa pelanggan hanya perlu membuka akaun dengan pelaburan minimum RM100 untuk menikmati peluang memenangi pelbagai hadiah yang ditawarkan, dengan lebih daripada 10,000 pemenang dijangka menerima ganjaran sepanjang kempen ini. 

Rizq Plus 2026 menampilkan 15 kategori cabutan bertuah yang akan dilaksanakan sepanjang tahun, termasuk kategori Jutawan Utama. Bank Rakyat turut memperkenalkan beberapa kategori baharu seperti Xclusive Platinum, Rizq 50+, Wanita, Belia, Anggota Bank Rakyat dan Pelabur Baharu bagi memastikan peluang kemenangan yang lebih inklusif. 

Selain itu, pengenalan Cabutan Mingguan Bonanza dan Cabutan Mingguan Belia dijangka dapat meningkatkan keterlibatan pelanggan serta menarik lebih ramai masyarakat untuk membuka akaun pelaburan ini. 

Whatsapp Image 2026 02 11 At 1.37.38 Pm 3

Bank turut mengekalkan cabutan popular seperti Cabutan Bulanan, Cabutan Negeri dan Cabutan Ulang Tahun Bank Rakyat bagi memperluas peluang kemenangan kepada pelanggan di seluruh negara. 

Sehingga Disember 2025, Rizq Plus telah merekodkan lebih 203,000 akaun dengan nilai pelaburan melebihi RM939 juta. Bagi tahun 2026, Bank Rakyat menyasarkan nilai pelaburan mencecah RM2.5 bilion, sejajar dengan strategi pertumbuhan mampan Bank. 

Untuk maklumat lanjut mengenai Akaun Pelaburan-i Rizq Plus, orang ramai boleh melayari laman web rasmi www.bankrakyat.com.my atau mengikuti platform media sosial rasmi @myBankRakyat. 

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |