Baru-baru ini, satu kluster kes penyakit Tuberkulosis (Tibi) dilaporkan telah dikesan di Kota Tinggi, Johor. Menurut Utusan Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengesahkan, sebanyak 33 kes positif wabak Tibi telah disahkan setakat ini.
Difahamkan, kesemua pesakit telah menerima rawatan dan sedang menjalani pemantauan rapi di fasiliti kesihatan. Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penduduk sekitar kawasan terlibat diminta untuk segera menjalani saringan kesihatan sekiranya mengalami simptom seperti batuk berpanjangan, demam atau berpeluh pada waktu malam.
Walaupun penyakit ini dikategorikan sebagai antara jangkitan penyakit yang lama, namun ianya masih menjadi satu kebimbangan masyarakat dengan angka pesakit yang boleh tahan ramai.
Jadi, berikut adalah fakta mengenai penyakit Tibi serta langkah pencegahan yang korang boleh lakukan.
Apa itu penyakit Tibi?

Penyakit Tuberkulosis (Tibi) juga dikenali sebagai batuk kering yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis. Penyakit ini merebak melalui udara, khususnya melalui titisan air liur yang halus daripada individu yang dijangkiti ketika batuk, bersin atau bercakap.
Oleh itu, penyakit ini berisiko tinggi untuk merebak kepada individu yang berada dalam jarak dekat atau mempunyai kontak rapat. Kejadian jangkitan juga didapati lebih kerap berlaku dalam kalangan individu dengan sistem imun yang lemah, termasuk penghidap HIV.
Jangkitan HIV sememangnya tidak menyebabkan kematian secara langsung, tapi ia boleh melemahkan sistem imun seseorang itu sehinggakan ia membuka ruang kepada pelbagai jangkitan sekunder yang serius.
Dalam keadaan tertentu, jangkitan Tibi boleh membawa kepada komplikasi teruk dan seterusnya mengakibatkan kematian, terutamanya kalau tidak dirawat dengan segera. Ditambah pula dengan rawatan penyakit ini dikatakan agak kompleks adanya rintangan antibiotik yang mana bakteria Tibi dilaporkan telah menjadi kebal terhadap ubat sedia ada.
Apakah tanda-tanda dan gejala Tibi?

Secara umumnya, gejala Tibi muncul secara berperingkat, menjadikan ramai orang tak sedar yang mereka berkemungkinan sedang dijangkiti penyakit itu.
Antara tanda awal yang sering dialami termasuk batuk yang berlarutan melebihi dua minggu, demam berpanjangan, keletihan melampau serta penurunan berat badan tanpa sebab yang jelas.
Selain itu, sesetengah pesakit turut mengalami hilang selera makan dan berpeluh berlebihan pada waktu malam, namun simptom-simptom ini kerap disalah tafsir sebagai jangkitan biasa.
Lebih merisaukan adalah, kadang-kadang penghidap Tibi boleh mengalami batuk berdarah dan rasa sakit di bahagian dada. Sikap mengambil mudah terhadap perubahan kesihatan diri menyebabkan ramai tidak mendapatkan rawatan awal, sekali gus melambatkan proses diagnosis.
Keadaan ini bukan sahaja memburukkan tahap kesihatan pesakit, malah meningkatkan risiko penularan penyakit kepada ahli keluarga dan komuniti sekeliling.
Langkah pencegahan yang korang boleh buat

Langkah pertama yang korang boleh buat adalah menjaga kebersihan tangan secara konsisten. Tangan merupakan salah satu medium utama penyebaran bakteria dan virus, jadi mencuci tangan dengan air bersih dan sabun secara kerap boleh mengurangkan risiko jangkitan dengan ketara.
Amalan ini perlu dilakukan terutamanya sebelum makan, selepas menggunakan tandas atau selepas menyentuh permukaan awam yang kerap disentuh ramai orang.
Selain itu, umum mengetahui yang bahagian muka adalah laluan utama bagi kuman memasuki tubuh, jadi korang seeloknya cuba elak daripada sentuh mata, hidung dan mulut dengan tangan yang tidak dicuci.
Walaupun kita rasa tangan kita dah cukup bersih, tapi sentuh bahagian muka tanpa cuci tangan terlebih dahulu boleh menjemput jangkitan penyakit lain tanpa kita sedar. Kesedaran tentang tabiat ini perlu dipupuk sejak kecil supaya penularan penyakit serius boleh dikurangkan.
Langkah pencegahan seterusnya adalah dengan memakai pelitup muka dengan mengamalkan penjarakan fizikal. Penggunaan pelitup muka ini boleh menghalang titisan air liur yang membawa bakteria daripada masuk ke saluran pernafasan orang lain.
Bila berada di tempat awam yang sesak, korang disarankan untuk menjaga jarak fizikal dengan orang lain sebagai usaha mengurangkan penularan jangkitan penyakit ini. Sebab kita pun kalau boleh tidak mahu menjadi punca kepada penyebaran penyakit ini kepada orang lain, terutamanya individu yang mempunyai sistem imun lemah.
Pastikan dapat rawatan sekiranya dijangkiti

Sekiranya dijangkiti penyakit Tibi, pesakit disarankan untuk sentiasa mengutamakan rawatan mereka iaitu dengan menghadiri kesemua sesi pemeriksaan, mematuhi nasihat doktor dan mengamalkan etika batuk yang baik.
Penghentian ubat secara sendiri atau rawatan yang dijadualkan oleh pihak hospital hanya akan meningkatkan risiko kepada kegagalan rawatan serta menyebabkan pembentukan varian Tibi yang menjadi kebal terhadap ubat.
Tibi yang sudah kebal ubat ini hanya akan menyukarkan lagi proses rawatan. Jadi kalau nak sembuh cepat, pesakit perlu konsisten dengan pengambilan ubat antibiotik khas yang biasanya diamalkan selama enam bulan atau lebih.
Tapi yang paling penting ialah masyarakat perlu menghapuskan stigma dan tanggapan bahawa penyakit ini boleh sembuh sendiri tanpa rawatan hospital. Sebenarnya, Tibi boleh dirawat dengan berkesan, tetapi jika pesakit menyembunyikan penyakit untuk mengelak rawatan, ia hanya akan meningkatkan risiko penularan kepada orang sekeliling.
Oleh itu, masyarakat digalakkan untuk menerima hakikat bahawa penyakit Tibi memerlukan rawatan perubatan yang segera dan pesakit digalakkan tidak menyembunyikan simptom bagi mengelakkan penularan kepada orang lain.
Sumber: KKM, Bernama, Malaysia Gazette

13 hours ago
8




![[VIDEO] Akhirnya Rebah! Lebih 40 Individu Berjaya ‘Tumbangkan’ Pokok Tualang Kebal Di Gua Musang](https://lobakmerah.com/wp-content/uploads/2026/02/syaz-ft-2026-02-06T122058.933.png)

























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















