Anugerah Enterprise 50 (E50) yang mengiktiraf pencapaian 50 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terunggul di Malaysia kembali dianjurkan pada tahun ini, dengan pembaharuan yang lebih dinamik lantas menambah lagi prestijnya.
Program Anugerah E50 2026 dengan tema ‘Meraikan Semangat Keusahawanan Malaysia’ telah dilancarkan oleh YB Encik Steven Sim Chee Keong, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Hotel Cititel Mid Valley, Kuala Lumpur hari ini.
Pada tahun ini, Anugerah E50 akan diadakan bersama Persidangan Eksport (Export Conference) E50 dan Sesi Padanan Perniagaan (Biz Matching) E50 bagi menggalakkan peluang perniagaan, memperkukuh jaringan perdagangan serta menyokong pertumbuhan eksport PMKS tempatan, terutamanya di kalangan Alumni E50.
Persidangan Eksport E50 ini akan menjadi platform bagi membincangkan bukan sahaja mengenai isu dan cabaran untuk menembusi pasaran eksport, tetapi juga menjadi medan penerokaan peluang baharu pasaran eksport menerusi perjanjian perdagangan serantau dan global yang boleh dimanfaatkan oleh syarikat E50. Usaha ini seterusnya akan disambut oleh Sesi Padanan Perniagaan E50 yang akan membawa pembeli dari luar dan dalam negara untuk memperluas rantaian bekalan syarikat E50.
Pembaharuan tahun ini adalah selaras dengan teras Daya Akses Pasaran (D) di bawah Strategi ABCD yang diperkenalkan oleh YB Encik Steven Sim bagi memacu daya saing usahawan tempatan.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1997, Anugerah E50 telah mendapat pengiktirafan industri lebih dua (2) dekad yang lalu, sekali gus menjadi simbol kredibiliti dalam dunia perniagaan Malaysia. Anugerah ini dianjurkan secara kolaboratif oleh SME Corp. Malaysia bersama rakan pelaksana, Estilo Media Group Sdn. Bhd. dengan sokongan penuh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Di majlis yang sama, YBrs. Encik Rizal bin Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia mengalu-alukan penyertaan pencalonan daripada PKS. SME Corp. Malaysia menjemput PKS yang layak untuk menyertai Anugerah E50, iaitu syarikat-syarikat yang telah menerima penarafan 4-Bintang dan 5-Bintang di bawah Program Penarafan Daya Saing PKS untuk Peningkatan (SCORE). Pada tahun ini, pencalonan bagi Anugerah E50 akan dibuka sehingga 31 Julai 2026. Kemuncak bagi Program E50 ini adalah Majlis Anugerah E50 yang dijadualkan pada bulan Oktober nanti.

Berikut adalah syarat kelayakan utama untuk menyertai Anugerah E50:
- Status Syarikat: Memenuhi definisi PMKS dan diperbadankan di Malaysia.
- Prestasi SCORE: Mendapat penarafan 4 atau 5-Bintang di bawah SCORE. ▪ Status Penyenaraian: Tidak disenaraikan di Bursa Malaysia.
- Rekod Kewangan: Mempunyai penyata kewangan beraudit bagi tiga (3) tahun terkini.
- Penyertaan Induk: Anak syarikat tidak layak jika syarikat induk turut mengambil bahagian.
Hadir sama, YBhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Bernard Giluk Dompok, Pengerusi SME Corp. Malaysia dan YBrs. Encik Rizal bin Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang rasmi di www.e50.com.my.

12 hours ago
7































:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















