Baru sahaja kita dihebohkan dengan kes kehilangan seorang remaja perempuan yang dipercayai tersesat ketika melakukan aktiviti pendakian di Bukit Changkat Asa, timbul pula kes kedua mengenai orang hilang ketika melakukan aktiviti yang sama.
Terbaharu, seorang wanita yang miliki 10 tahun pengalaman dalam mendaki gunung dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian di Gunung Batu Putih, Tapah.
Mangsa ialah Jaslinda Saludin, 49 dipercayai tersasar daripada laluan asal pendakian sebelum terputus hubungan sejak Ahad.

Jaslinda hilang ketika turun dari puncak
Menurut sumber, Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu serta dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Dalam ekspedisi itu, Jaslinda dan seorang lagi pendaki lelaki mengalami masalah kesihatan dan berhenti, bagaimanapun wanita itu dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung yang kali terakhir dilihat oleh MGP pada 7.30 pagi Ahad.
Menurut pihak berkuasa, Jaslinda dipercayai tersasar ketika turun dari puncak Gunung Batu Putih yang berketinggian 2,132 meter selepas mendaki seorang diri ke puncak tersebut.
“Sepatutnya laluan turun akan keluar di Kuala Woh, namun kita percaya mangsa mungkin tersasar di sekitar Gunung Rayu ataupun Pos Musoh,” kata Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak Sabarozi Nor Ahmad.

Artikel berkaitan: “Dah hari ketiga…” – Hilang Ketika Turun Mendaki Di Bukit Changkat Asa, Nur Izzati Humaira Masih Belum Ditemui
Artikel berkaitan: “Nyawa orang jangan dibuat main” – Netizen Luah Rasa Sedih Tragedi Pendaki Hilang Ditemui M*ut Di Gunung Liang
Jumpa kesan tapak kasut di kawasan bukan laluan utama pendakian
Ketika operasi SAR semalam, pasukan penyelamat menemukan kesan tapak kasut dipercayai milik mangsa di kawasan yang bukan laluan utama pendakian.
Pun begitu, operasi SAR berdepan pelbagai cabaran termasuk kesukaran komunikasi di kawasan gunung, laluan curam serta keadaan cuaca hujan yang menyebabkan trek licin, di samping gunung berkenaan merupakan antara yang tertinggi dan laluannya agak mencabar serta faktor awan tebal.
Suami Jaslinda luah terkilan
Suami Jaslinda, Haszman Othman, 61, berharap golongan malim lebih bertanggungjawab terhadap peserta program mendaki.
Haszman meluahkan dia berasa terkilan dengan kejadian yang menimpa isterinya yang kini masih dicari anggota penyelamat di gunung tersebut.

“Saya tak faham kenapa isteri boleh ditinggalkan bersama seorang sahaja malim dan seorang lagi pendaki yang sakit di atas gunung itu.
“Malim yang mengetuai kumpulan pendaki disertai isteri seharusnya lebih bertanggungjawab dengan peserta program berkenaan dan tidak meninggalkan orang sakit di atas gunung,” katanya.
Dia turut tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan malim terbabit ketika ditanya mengenai perkara tersebut.
“Sebagai ketua kumpulan, bagaimana dia boleh meninggalkan peserta sakit di atas bukit dan turun bersama mereka yang sihat?” soalnya.
Difahamkan, peserta lain yang sudah turun dari gunung berkenaan telah selamat tiba di rumah masing-masing pada Ahad.
“Isteri memang berpengalaman mendaki gunung. Dia memiliki sekurang-kurangnya 10 tahun pengalaman, bahkan mengikut rekod Jabatan Perhutanan dia juga akan mendaki gunung ini lagi pada hujung bulan ini.
“Dia memang suka aktiviti yang mencabar kemampuan dirinya,” katanya.
Sumber: Kosmo!, Harian Metro

15 hours ago
11






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















