Hujung minggu lalu, tular di media sosial memperlihatkan seorang pemandu kereta jenis Perodua Bezza melanggar dan menggilis penunggang motor di media sosial.
Susulan itu, pihak polis Daerah IPD Klang Selatan telah menerima panggilan daripada orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut dan mengatakan penunggang motor tersebut mengalami kecederaan akibat kejadian itu.
Artikel berkaitan : Video Tular T*mbuk Pemandu Wanita, Anggota Tentera Mengaku Tidak Bersalah
Artikel berkaitan : Keterangan Pemandu Kereta Yang Didakwa Langgar Wanita Hamil Sudah Diambil – Polis
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Ramli Bin Kasa berkata, kejadian tersebut berlaku pada 26 April 2025 lalu kira-kira jam 10 malam di Jalan Dato’ Yusof Shahbudin 28, Bandar Sentosa.
“Pada masa kejadian, mangsa yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 50 tahun, menunggang motor serta mengelak beberapa permukaan jalan yang tidak rata.”
Katanya, disebabkan itu, pemandu suspek yang juga merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 37 tahun menganggap bahawa mangsa menunggang motor secara tidak berhemah dan mampu akibatkan kemalangan, suspek telah membunyikan hon untuk menegur perbuatan mangsa.
“Mangsa yang tidak berpuas hati dengan teguran itu telah mengejar suspek dan berlaku pertengkaran antara mereka. Semasa pertengkaran, mangsa telah menghentak cermin hadapan kereta suspek menggunakan topi keledar mengakibatkan cermin retak.”
Tambah beliau, suspek kemudiannya terus melanggar mangsa sehingga mangsa bersama motosikal miliknya terheret di bawah kereta suspek sebelum beredar dari lokasi kejadian.
Jelasnya, mangsa kini telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk pemeriksaan dan rawatan. Susulan dengan kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan luka di kedua-dua kaki dan bahu serta sendi bahu kiri terkehel.
“Mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan.”
Pihak Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalaan cubaan membunuh yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan selama tempoh 20 tahun.
Suspek telah ditangkap keesokan harinya pada jam 1.15 pagi, hasil semakan mendapati bahawa suspek mempunyai 4 rekod jenayah lampau. Suspek kini direman selama 4 hari.
“Pihak polis telah terkesan 1 video yang tular di media sosial yang memaparkan kejadian ini. Orang awam dinasihatkan supaya tidak menularkan video tersebut agar tidak mendatangkan kegusaran kepada masyarakat.”
Ramli turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan dengan kejadian tersebut untuk hadir ke Balai Polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan.
Sumber : Facebook