Tajaan pakej umrah percuma telah diberikan kepada keluarga dan waris 15 orang penuntut UPSI yang terkorban dalam nahas bas di Gerik, Perak baru-baru ini.
Selain waris pelajar, sukarelawan van jenazah Pertubuhan Amal Komuniti Besut yang mengiringi perjalanan jenazah 15 pelajar terkorban turut terpilih untuk menyertai rombongan umrah bersama keluarga-keluarga pelajar terbabit, lapor Berita Harian.
Menurut bapa kepada salah seorang pelajar yang meninggal dunia, dia tidak menyangka dapat ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah tidak lama lagi dengan pakej tajaan itu dan baginya, ia sedikit sebanyak dapat membantunya untuk mengurangkan kerinduan terhadap pemergian anaknya dalam kemalangan itu.
Artikel Berkaitan: Hikmah Di Sebalik Kejadian, Lelaki OKU Tular & Keluarga Dapat Tajaan Pakej Umrah
Artikel berkaitan: Pelajar UPSI Yang Terkesan Dengan Kemalangan Gerik Tidak Perlu Tunda Semester
Difahamkan, keluarga dan waris 15 pelajar UPSI itu telah menerima tajaan pakej umrah itu daripada agensi Sinar Suci Travel dan Services Sdn Bhd.
Syarikat tersebut akan membiayai pakej umrah bernilai RM10,000 setiap seorang kepada keluarga mangsa.
Ini kerana syarikat tersebut mahu memberi sokongan kepada waris mangsa yang ketika ini masih berdepan saat-saat sukar selepas pemergian mengejut anak-anak mereka ketika menuntut ilmu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Alhamdulillah, sama-sama kita doakan agar urusan mereka di Tanah Suci Makkah nanti akan dipermudahkan semuanya.
Sumber: Berita Harian