sultan selangor dukacita SIS forum

Sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan Putrajaya yang membatalkan fatwa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terhadap Sisters In Islam (SIS) Forum Malaysia turut mendukacitakan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, baginda menegaskan bahawa penyalahgunaan perkataan ‘Islam’ dalam nama dan penerbitan SIS Forum (Malaysia) boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.

“Sehubungan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini, baginda Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di Selangor menggesa agar SIS Forum (Malaysia) tidak lagi menggunakan perkataan ‘Sisters in Islam’ ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka.

“Ia supaya perkataan ‘Islam’ tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat tersebut,” menurut kenyataan itu.

Artikel berkaitan: Batal Fatwa Sebagai Ajaran Sesat, Sisters In Islam Menang Rayuan

Baginda mengeluarkan titah tersebut selaku Ketua Agama Islam di Negeri Selangor berhubung dengan keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan kes tersebut, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi MAIS Datuk Salehuddin Saidin dalam kenyataan berkata, MAIS tidak sependapat dengan sebahagian daripada keputusan Mahkamah Persekutuan itu khususnya yang memutuskan bahawa fatwa bertarikh 31 Julai 2014 berkenaan hanya terpakai kepada individu tetapi tidak terpakai kepada SIS Forum Malaysia, pertubuhan atau institusi.

Beliau berkata MAIS menzahirkan rasa dukacita kerana keputusan tersebut secara tidak langsung mencampuri urusan pembuatan dan pemakaian fatwa yang berkaitan hukum syarak.

“MAIS juga menzahirkan kebimbangan bahawa keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan dalam kes ini akan membuka ruang kepada kumpulan tertentu yang tidak bertanggungjawab untuk berselindung di sebalik nama Islam dalam sesebuah syarikat, pertubuhan atau institusi bagi mengamal dan menyebarkan ajaran sesat yang bertentangan supaya tindakan penguatkuasaan tidak dapat diambil terhadap mereka.

“Di samping itu, jika perkara ini dibiarkan berterusan ia akan mengelirukan dan boleh menjejaskan akidah umat Islam,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya menegaskan akan terus meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya dengan kerjasama kerajaan Persekutuan, negeri dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri serta sokongan institusi diraja bagi memperkasakan perundangan sedia ada demi memartabatkan kedudukan agama Islam selaras dengan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.