Seorang penuntut universiti tempatan di tahan polis dalam Op Pedo selepas pemuda berusia 20 tahun itu dikesan ada menyimpan lebih daripada 5,000 bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan bahan lucah dewasa pada April lalu.
Rampasan bahan lucah itu termasuklah rakaman yang dikatakan rakaman hasil sendiri yang membabitkan dua kanak-kanak bawah umur.
Artikel berkaitan : Doktor Salah Langkah, Kanak-kanak Usia 16 Bulan Terpaksa Dip*tong Tangan
Artikel berkaitan : Tular Gambar Perbuatan Tak Senonoh Lelaki Terhadap Kanak-kanak, Polis Sudah Jalankan Siasatan
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, berkata, penangkapan itu telah dibuat pada jam 4 petang, 29 April lalu. Ia adalah hasil maklumat kerjasama dengan pihak Google.
“Pasukan serbuan terdiri daripada Unit Malaysia Internet Crime Against Children (MICAC), Bahagian D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Kontinjen Johor menahan lelaki itu di Pasir Gudang, Johor.”
“Hasil pemeriksaan mendapati dia ialah penuntut universiti dan pemeriksaan lanjut menemui 5,000 CSAM serta bahan lucah dewasa di dalam peranti milik suspek yang dipercayai dimuat turun dari Internet.”
“Turut ditemui ialah bahan-bahan yang disyaki dihasilkan sendiri oleh suspek, membabitkan dua mangsa kanak-kanak tempatan.”
Kata Siti Kamsiah lagi, tangkapan dan rampasan telefon bimbit serta komputer riba itu dibuat mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
“Hasil siasatan lanjut menunjukkan suspek mengeksploitasi secara seksual dua orang kanak-kanak berusia empat dan sembilan tahun yang juga sepupunya.”
“Suspek merakam perbuatan itu menggunakan telefon bimbit dalam beberapa kejadian di tiga lokasi berbeza di Kontinjen Selangor, Pahang dan Kelantan.”
Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat tiga lagi kertas siasatan berasingan turut dibuka bagi menyiasat insiden di kontinjen berkaitan.
“Bagi kes memiliki CSAM dan bahan lucah, suspek sudah dituduh di Johor pada 22 Mei lalu dan mengaku bersalah serta membayar denda RM5,000.
“Sementara itu, bagi kesalahan merakam perbuatan bersama kanak-kanak di kediaman keluarga suspek di Sungai Buloh antara 2023 hingga 2025, suspek dituduh hari ini di Klang,” katanya.
Tambahnya, siasatan mengenai kejadian merakam perbuatan memandikan kanak-kanak di sebuah tandas di ladang itik kebun sawit di Maran, Pahang, masih dalam kajian pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Sumber : Berita Harian