Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua jabatan kerajaan untuk menggunakan barangan tempatan, terutamanya makanan dalan semua acara rasmi dalam usaha menggalakkan penggunaan produk tempatan.
Tambahnya lagi, penggunaan bahan tempatan dalam acara kerajaan secara tidak langsung akan memberikan peluang lebih luas kepada peniaga tempatan untuk memasarkan hasil mereka selain menyokong ekonomi negara.
Bercakap dalam ucapan pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan baru-baru ini, Perdana Menteri berkata sekiranya seluruh jabatan kerajaan laksana arahan tersebut, ia akan memberi lebih peluang kepada petani untuk mengeluar dan mengetengahkan produk mereka lebih banyak.
Anwar dalam masa yang sama membandingkan amalan dengan negara-negara jiran yang kelihatan ‘lebih tegas’ dalam penggunaan bahan makanan tempatan ketika majlis rasmi mereka dengan memetik beberapa contoh seperti Laos, Thailand dan juga Vietnam.
Tambahnya lagi, beliau belum pernah dijamu makanan import ketika upacara rasmi ke negara-negara tersebut dan secara automatik, mereka akan pastikan makanan yang dihidangkan adalah makanan tempatan.
Perdana Menteri juga menegur kecenderungan sesetengah pihak yang gemar memilih makanan import walaupun arahan jelas telah dikeluarkan dan menurutnya, tindakan tersebut tidak selari dengan semangat memperkasakan ekonomi tempatan.
Dalam masa yang sama, Anwar turut menasihati semua pihak agar lebih peka dalam usaha menyokong hasil dalam negeri ini.
Sumber : Bernama