4trump

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mengadakan pertemuan empat mata pada semalam dalam usaha menghidupkan semula rundingan damai bagi menamatkan peperangan antara Rusia dan Ukraine.

Screenshot 2025 04 27 at 1.46.40 PM

Pertemuan yang berlangsung kira-kira 15 minit di Basilika St. Peter itu diadakan tanpa kehadiran pembantu, sejurus kedua-dua pemimpin menghadiri upacara pengebumian Pope Francis.

Menurut pejabat Zelenskyy dan imej rasmi yang dikeluarkan Kyiv dan Washington, pertemuan ini adalah yang pertama sejak pertembungan tegang di Oval Office, Washington, pada Februari lalu.

Memetik laporan Astro Awani, Zelenskyy menyifatkan pertemuan itu sebagai berpotensi menjadi peristiwa bersejarah sekiranya berjaya membawa kepada perdamaian yang diharapkan, manakala jurucakap White House menggambarkannya sebagai “sangat produktif.”

Dalam perjalanan pulang ke AS, Trump memuat naik kenyataan mengecam tindakan Presiden Rusia, Vladimir Putin. Beliau berkata, “Tiada sebab untuk Putin melancarkan peluru berpandu ke kawasan awam, bandar dan pekan sejak beberapa hari kebelakangan ini.”

Screenshot 2025 04 27 at 1.46.51 PM

Kenyataan Trump kali ini dilihat lebih keras terhadap Putin berbanding sebelum ini, manakala sikapnya terhadap Zelenskyy juga menunjukkan pendekatan lebih positif.

Di platform Telegram, Zelenskyy berkata isu-isu utama yang dibincangkan termasuk perlindungan nyawa rakyat Ukraine, gencatan senjata penuh dan tanpa syarat, serta keamanan berkekalan.

Sementara itu, Senator Republikan AS, Lindsey Graham memaklumkan bahawa Senat sedang merangka undang-undang dwipartisan untuk mengenakan sekatan perdagangan terhadap negara yang membeli minyak, gas dan produk lain dari Rusia sekiranya rundingan damai tidak tercapai.

Baca: Bertekak Dengan Trump, Rusia Anggap Lawatan Presiden Ukraine Ke Amerika Satu Kegagalan

Screenshot 2025 04 27 at 1.47.43 PM

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.