Umum mengetahui bahawa penggunaan produk vape atau rokok elektronik mempunyai lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. Lebih-lebih lagi, ada remaja yang menghisap vape ini dalam kawasan sekolah meskipun telah dilarang oleh pihak sekolah.
Terkini, kerajaan negeri Terengganu mengumumkan baru-baru ini bahawa penjualan rokok elektronik atau vape di negeri itu akan dilarang bermula bulan Ogos ini.
Memetik laporan Harian Metro, larangan penjualan produk tersebut akan dikuat kuasakan bermula 1 Ogos 2025 nanti iaitu tidak lama lagi.
Difahamkan, larangan penjualan vape di negeri itu telah dibuat dan dipersetujui oleh Exco Negeri itu dalam satu mesyuarat Exco Negeri beberapa hari lalu.

Artikel berkaitan: Pelajar Tingkatan 4 Alami Sawan, Gara-gara ‘Overdose’ Hisap Vape Magic Mushroom
Artikel Berkaitan: Persatuan Pengguna Pulau Pinang Gesa Gula-gula Berbentuk Vape Dan Rokok Diharamkan Segera
Pengumuman itu dibuat oleh Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri tersebut.
Langkah tersebut diambil oleh pihak kerajaan negeri Terengganu kerana penggunaan vape banyak memberi impak negatif terhadap anak muda dan kesihatan penggunanya.
Negeri tersebut tidak akan meluluskan lesen perniagaan kepada premis yang menjual produk berkenaan.

Peniaga yang berdegil dengan arahan itu dan masih meneruskan penjualan vape pada tarikh yang dikatakan itu akan dikenakan tindakan tegas.
Dalam masa yang sama, untuk memastikan larangan jualan rokok elektronik ini dapat dijalankan sepenuhnya, negeri itu akan memperkemaskan lagi syarat lesen perniagaan di Terengganu.
Selain itu, Buletin TV3 melaporkan bahawa pihak kerajaan Terengganu juga tidak akan menerima sebarang tajaan dari syarikat pengeluar vape untuk sebarang majlis anjuran kerajaaan negeri.
Namun, Presiden Pertubuhan Peniaga Vape Melayu Terengganu pula menyatakan kebimbangan mereka dengan arahan larangan menjual vape itu di negeri tersebut kerana boleh memberi kesan negatif terhadap ekonomi tempatan kerana difahamkan, terdapat lebih 400 pekerja tempatan yang bekerja di lebih 169 kedai vape di seluruh negeri berkenaan, lapor Sinar Harian.
Sumber: Harian Metro