Seperti yang kita semua sedia maklum, isu kesesakan lalu lintas di ibu kota, khususnya di Lembah Klang dilihat semakin meruncing sejak kebelakangan ini. Pertambahan kenderaan mungkin dipengaruhi musim perayaan yang semakin hampir seperti Tahun Baharu Cina dan Ramadan.
Menjawab persoalan tersebut, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan pada ketika ini tidak berhasrat untuk memperkenalkan dasar khusus bagi mengawal jumlah kenderaan di jalan raya.
“Ketika ini, fokus kerajaan masih tertumpu kepada langkah mitigasi, terutamanya ketika musim perayaan. Namun realitinya, jumlah kenderaan di negara ini menunjukkan peningkatan saban tahun.
“Setakat ini belum ada sebarang dasar untuk mengehadkan pemilikan atau penggunaan kenderaan kerana langkah seperti pelaksanaan dasar ‘end-of-life’ kenderaan berpotensi menimbulkan implikasi lain termasuk rungutan daripada pelbagai pihak,” katanya, lapor Harian Metro.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak bahawa perkara tersebut perlu diteliti secara menyeluruh untuk jangka masa panjang bagi memastikan pertumbuhan jumlah kenderaan dapat dikawal secara lebih lestari.
Kesesakan lalu lintas di ibu kota, khususnya di lembah klang, dilihat semakin teruk kebelakangan ini.Artikel berkaitan: KL Sesak Luar Biasa Sejak Awal Februari, Rupanya Ini Puncanya
Artikel berkaitan: Polis Siasat Kejadian Jalan Sesak Akibat Pemandu Lori Bersila Atas Lebuh Raya
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa sebanyak 820,000 kenderaan berjaya dijual tahun lalu.
Perkara itu menjadikan Malaysia antara pasaran kenderaan terbesar di Asia Tenggara, walaupun jumlah penduduknya sekitar 30 juta orang.
Situasi itu, katanya, menyumbang kepada sifat negara yang masih bergantung kepada penggunaan kenderaan persendirian atau ‘car-centric’.
Beliau turut mengakui kesesakan yang dialami rakyat bukan sesuatu yang asing, malah beliau sendiri pernah mengambil masa hampir dua jam untuk tiba ke destinasi di Lembah Klang.
Sehubungan itu, Kementerian Pengangkutan akan terus memperkukuh pengangkutan awam sebagai alternatif, termasuk penambahan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), tren elektrik (ETS) dan komuter.
“Walaupun kapasiti penumpang telah ditambah sehingga 50,000 tempat duduk, jumlah itu masih kecil berbanding kira-kira dua juta kenderaan yang menggunakan lebuh raya setiap hari.
“Usaha juga sedang dipergiat untuk mempercepat pembukaan Projek LRT Laluan Shah Alam (LRT3) bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna. Namun, beberapa ujian dan prosedur keselamatan perlu dipatuhi sebelum ia boleh dibuka kepada orang ramai,” katanya.
Sumber: Harian Metro

14 hours ago
10






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















