Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membongkar kegiatan pemalsuan dan pengubahsuaian pasport yang dipercayai digunakan bagi membolehkan warga asing melepasi saringan pemeriksaan kesihatan pekerja asing (FOMEMA) dalam satu operasi khas di sekitar Sentul, Khamis lalu.

Operasi yang dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas itu hasil maklumat awam serta risikan selama sebulan. Dalam serbuan di dua lokasi berasingan, pihak berkuasa menahan seorang pelajar warga Bangladesh berusia 27 tahun yang didapati memiliki pas pelajar yang masih sah.

Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menawarkan perkhidmatan kepada warga Bangladesh di sekitar Lembah Klang yang gagal atau tidak layak dalam pemeriksaan kesihatan FOMEMA. Pasport pelanggan akan dipinda atau diubah suai bagi membolehkan dokumen itu digunakan semula ketika menjalani saringan kesihatan.

Dalam operasi tersebut, JIM turut merampas 22 pasport Bangladesh yang disyaki palsu, beberapa kad akses, satu set komputer, mesin pencetak, mesin pemotong, mesin ukiran laser serta mesin pemotong lengkung. Sebuah motosikal jenis Benelli Leoncino yang dipercayai digunakan bagi tujuan penghantaran turut disita.

Bagi mengelakkan dikesan, sindiket dipercayai menggunakan khidmat ‘runner’ untuk menghantar pasport siap kepada pelanggan dengan bayaran dibuat secara dalam talian. Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut, manakala seorang lelaki tempatan turut dipanggil membantu siasatan.
Sumber: Astro Awani, Jabatan Imigresen Malaysia

18 hours ago
12































:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















