Collage 10

Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) telah menganjurkan  satu sesi Media Hi-Tea sebagai platform untuk mengeratkan hubungan strategik serta memperkukuh  kerjasama berterusan bersama rakan-rakan media. 

Sesi yang berlangsung dalam suasana santai dan mesra ini menghimpunkan wakil media cetak,  penyiaran dan digital, sekali gus membuka ruang interaksi dua hala antara INSKEN dan pihak media.  Majlis eksklusif ini juga mencerminkan penghargaan INSKEN terhadap peranan penting media dalam  menyebarluaskan maklumat berkaitan inisiatif pembangunan keusahawanan negara. 

Dalam majlis tersebut, INSKEN turut berkongsi pencapaian terkini, inisiatif serta hala tuju strategik  dalam memperkasa usahawan tempatan melalui pelbagai program keusahawanan yang ditawarkan. Antara yang dikongsi adalah: 

  • 20,196 usahawan telah dilatih dan dibimbing melalui 321 program sepanjang pada tahun  2025. 
  • RM22.4 juta hasil jualan berjaya dijana pada tahun 2025. 
  • 710 pekerjaan baharu diwujudkan pada tahun 2025. 
  • Fokus 2026: penskalaan usahawan mikro ke kecil yang lebih mampan, penciptaan peluang  pekerjaan baharu bergaji minimum dan pemerkasaan sektor ketiga, termasuk  keusahawanan sosial dan perusahaan berasaskan komuniti. 
  • Pengenalan program baharu: Bangkit dan INSKEN Masterclass. 
  • Skop program keusahawanan: Perniagaan Keluarga, Halal, High Growth High Value (HGHV),  TVET, Akses Pasaran dan Keusahawanan Sosial. 

25 Scaled

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Puan Viviantie Sarjuni, sesi ini turut membantu media  memahami pendekatan INSKEN yang berperanan sebagai pemudah cara serta penghubung antara  usahawan, industri dan ekosistem sokongan keusahawanan negara.

Tambahnya, media merupakan rakan strategik penting dalam menyampaikan maklumat yang tepat  dan berimpak kepada masyarakat. Justeru, INSKEN komited untuk terus bekerjasama rapat dengan  pihak media serta berharap hubungan erat yang terjalin melalui sesi seperti ini dapat diteruskan dan  diperkukuh demi menyokong agenda pembangunan keusahawanan yang mampan dan inklusif. 

INSKEN Media Hi-Tea telah diadakan di Chef Kecik Boulangerie Tuah 1895, Bukit Bintang, Kuala  Lumpur, sebuah restoran milik alumni program INSKEN yang juga merupakan penerima Anugerah  Usahawan MADANI 2025 (AUMI) bagi kategori Anugerah Harapan. Pemilihan lokasi ini  mencerminkan salah satu kisah kejayaan alumni INSKEN yang berdaya tahan, wajar dibanggakan  serta dijadikan sumber inspirasi kepada usahawan lain.