Satu kejadian menyayat hati dilaporkan berlaku di Kampung Makam, Kota Tinggi apabila seorang wanita yang sedang sarat mengandung tujuh bulan ditemui maut dalam keadaan berlumuran darah. Mangsa yang berusia 34 tahun itu dipercayai dibunuh oleh suaminya sendiri di dalam bilik rumah sewa mereka pada awal pagi tadi.
Apa yang lebih mengejutkan adalah sikap luar biasa tenang yang ditunjukkan oleh suspek sejurus selepas melakukan tindakan kejam tersebut.
Artikel berkaitan: Doktor Klinik Swasta Didakwa Cuba Hapus Bukti Lepas B*nuh Isteri & Anak Umur 5 Tahun
Artikel berkaitan: Tunggu Kelahiran Pertama Ogos Ini, Suami Reda Isteri Hamil 3 Bulan Maut Kebakaran
Pimpin Tangan Anak & Minum Air Kotak Selepas Kejadian
Menurut saksi yang juga pemilik rumah sewa tersebut, Atikah Sulaiman, 44, suspek datang menemuinya pada waktu subuh dalam keadaan yang sangat bersahaja. Malah, bajunya kelihatan bersih tanpa sebarang kesan darah.
“Dia nampak macam biasa sahaja, siap minum air kotak lagi dengan anaknya yang berusia empat tahun.
Dia beritahu mahu buat laporan sebab isterinya ada lelaki lain dan mendakwa bayi yang dikandung itu bukan anaknya,” katanya.
Awalnya, saksi menyangka lelaki tersebut hanya bergurau, namun segalanya bertukar ngeri apabila suspek membawa saksi ke bilik untuk menunjukkan jasad isterinya yang sudah tidak bernyawa.
Ada Sejarah Penyakit Mental
Difahamkan, pasangan etnik Rohingya itu sudah menyewa di situ selama lima tahun dan baru sahaja pulang dari Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan penyakit mental suspek. Jiran tetangga menyifatkan mangsa sebagai seorang yang baik dan tidak pernah mendengar pasangan itu bertengkar sebelum kejadian tragis ini berlaku.
Kecederaan Serius Di Kepala Akibat Objek Tumpul
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman mengesahkan mangsa mengalami kecederaan serius di kepala akibat dihentak dengan objek tumpul, dipercayai sebuah lesung batu.
Suspek yang berusia 35 tahun itu telah berjaya ditahan di sekitar lokasi kejadian pada jam 7.30 pagi tadi. Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar di sebalik pembunuhan ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Sumber: Kosmo!

15 hours ago
7






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















