“Inilah kejayaan sebenar…” – Terpaksa Jaga Suami Sakit, Besarkan 4 Anak, Guru Ini Menangis Terharu Lihat Anak Murid Berjaya

15 hours ago 7

Khamis lalu, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 telah diumumkan. Menurut laporan media tempatan, seramai 14,179 calon berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran, meningkat 3.7 peratus berbanding tahun lalu.

Malah, bilangan calon yang sekurang-kurangnya mendapat Gred C dalam semua subjek turut meningkat kepada 86,040 orang, berbanding 83,112 orang pada tahun sebelumnya.

Susulan pengumuman tersebut, pelbagai kisah suka dan duka dikongsi oleh para pelajar serta guru di media sosial. Namun, satu kisah yang benar-benar menyentuh hati ramai warganet telah dikongsikan oleh pengguna TikTok, @munaimidrus.

Dalam hantaran tersebut, beliau menceritakan tentang seorang guru kimia di sebuah sekolah di Manjung, Perak, yang merupakan satu-satunya tenaga pengajar bagi subjek itu di sekolah berkenaan.

Di sebalik ketekunannya mendidik, tersembunyi satu perjuangan peribadi yang amat berat.

Menurut perkongsian itu, sepanjang tahun lalu, guru tersebut bertungkus-lumus menjaga suami yang terlantar sakit akibat kemalangan sambil membesarkan empat orang anak.

Dalam masa sama, beliau tetap berusaha memastikan kehadirannya ke sekolah tidak terganggu walau sesukar mana keadaan sekalipun.

“Setiap hari, beliau berulang-alik dari rumah ke sekolah, dari hospital ke makmal. Semuanya untuk memastikan silibus kimia diselesaikan tepat pada waktunya dan anak-anak muridnya cukup bersedia untuk menghadapi peperiksaan SPM,” katanya.

Artikel berkaitan: Perlu Raikan Semua Calon, KPM Benarkan Majlis Penyerahan Slip Keputusan SPM Dengan Bersyarat

Artikel berkaitan: 900 Pelajar Di Johor Anggap SPM Tak Penting Sebab Boleh Dapat Gaji Besar Di Singapura

Screenshot 2025 04 26 153552Tangkap layar yang dikongsikan di TikTok menunjukkan guru tersebut tidak dapat menahan rasa terharu melihat kejayaan anak-anak didiknya.

Apa yang paling menyentuh hati adalah saat air mata guru tersebut gugur, bukan kerana kelelahan, tetapi kerana rasa syukur yang tidak terhingga apabila melihat kejayaan anak-anak didiknya.

“Segala pengorbanan, segala kepenatan yang dipendam sepanjang setahun itu akhirnya terbayar dengan kejayaan mereka.

“Hari ini, selepas setahun menahan penat dan perit yang tidak pernah diceritakan, air mata wanita tabah ini akhirnya gugur. Bukan kerana keletihan. Tetapi kerana kegembiraan.

“Sebagai guru, bukan semata-mata keputusan akademik yang kami kejar. Tetapi untuk melihat anak-anak ini percaya pada diri mereka sendiri… itulah kemenangan sebenar,” katanya.

Dalam ruangan komen, ramai pengguna TikTok menyuarakan rasa sayu masing-masing dan mengucapkan tahniah atas pengorbanan luar biasa guru tersebut.

Antara komen yang ditinggalkan, Sivaram Ratnam berkata, “Cikgu memang terbaik. Negara kita perlukan lebih ramai guru yang berjiwa besar dan komited seperti cikgu.”

Ahmad Faizal pula menulis, “Teringat cikgu kimia SPM 2005 dulu. Terima kasih cikgu. Alhamdulillah, sekarang saya sudah bergelar ahli kimia bertauliah (ChM). Semoga Allah membalas segala jasa cikgu.”

Manakala Kamal Ariff berkata, “Alhamdulillah. Tahniah cikgu. Bukan semua orang mampu menjadi guru berjiwa guru. Cikgu mempermudahkan urusan anak-anak murid, insya-Allah Allah juga akan mempermudahkan urusan cikgu. 🥰🥰🥰”

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |