Para jemaah haji tahun ini bakal kembali pulang ke tanah air masing-masing, ibadah haji sudah pun selesai bagi semua yang kini berada di tanah suci. Pun begitu, seorang jemaah haji Malaysia dilaporkan meninggal dunia di Tanah Suci pagi tadi.
Dalam satu hantaran oleh seorang jemaah yang hanya mahu dikenali sebagai Anwar di Facebook, Ghazali Ab. Rahman, berusia 74 tahun itu difahamkan meninggal dunia akibat keuzuran di biliknya ketika waktu Subuh.
Menurut hantaran itu, arwah difahamkan menginap dua bilik dari Anwar, arwah dikatakan sedang demam namun tetap tenang dan banyak berehat.
Arwah sudah merancang bersama rakan sebilik untuk ke Masjidil Haram menunaikan solat Subuh berjemaah.
“Namun, ketika dikejutkan tiada lagi respon. Bibirnya sudah membiru. Arwah telah pergi… tenang, di dalam bilik, dalam suasana ibadah, di bumi paling suci di atas muka bumi ini,” tulisnya.
Lebih menyentuh hati, isteri arwah telah meninggal dunia dua tahun lalu di Mekah, ketika menunaikan umrah. Dalam kesempatan haji itu, arwah sempat ziarah pusara isterinya dan seolah-olah menutup kisah cinta mereka di dunia dengan penuh kehormatan.
Anwar turut berkongsi, beberapa hari sebelum kematiannya, Ghazali mengemas semua barang miliknya dengan rapi, sedangkan tarikh pulang ke Malaysia masih jauh. Seolah-olah beliau sudah tahu, sudah bersedia dan sudah reda.
Inalillah, semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat…
Sumber: Facebok