Usul Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi tempoh 2026-2030 telah diluluskan di Dewan Negara pada 3 September 2025.
Mungkin ada yang rasa, “Eh, apa kena-mengena RMK13 ni dengan aku?”. Hari ini, kami akan jelaskan dengan bahasa paling mudah mengenai RMK13 ni dan ia boleh dikatakan ibarat peta jalan yang akan menentukan masa depan Malaysia, termasuk peluang untuk golongan muda seperti kita.
RMK13: Pelan Pembangunan Ekonomi dan Sosial
Dokumen RMK13 ini bukan sekadar laporan, tetapi pelan induk yang akan memandu pembangunan negara untuk lima tahun akan datang. Ia berlandaskan tiga tiang utama, yang digambarkan seperti sebuah rumah kukuh:
- Menaikkan Siling: Ini tentang menaikkan “bumbung” ekonomi negara. Maksudnya, kita tak boleh lagi bergantung kepada industri lama. Sebaliknya, RMK13 mahu beralih kepada ekonomi berlandaskan penciptaan nilai tinggi. Bayangkan, dulu kita buat barangan made in Malaysia, kini kita mahu cipta made by Malaysia. Ini bermakna kita mahu jadi pencipta, bukan sekadar pengeluar. Sektor tumpuan termasuk semikonduktor, tenaga hijau, dan teknologi digital.
- Menaikkan Lantai: Ini tentang memastikan “lantai” rumah itu kukuh dan selamat untuk semua. RMK13 akan menumpukan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan memastikan tiada siapa yang tertinggal. Ia meliputi usaha menangani kos sara hidup, seperti menambah baik bantuan kewangan dan memastikan harga barang asas berpatutan.
- Memperkukuh Tatakelola Baik: Ini tentang memastikan “struktur” rumah itu utuh, telus, dan tidak korup. RMK13 akan mempertingkatkan integriti dan kecekapan perkhidmatan awam agar semua urusan rakyat menjadi lebih mudah dan lancar.
Apa Manfaat untuk Golongan Muda?
RMK13 menawarkan beberapa peluang penting, terutamanya untuk generasi muda:
- Peluang Pekerjaan Berkualiti: Dengan tumpuan pada sektor berteknologi tinggi, akan ada banyak peluang pekerjaan baharu yang memerlukan kemahiran masa depan, seperti dalam bidang AI, teknologi, dan industri hijau.
- Gaji Progresif: Jika dulu kita hanya dengar tentang gaji minimum, RMK13 memperkenalkan Dasar Gaji Progresif (DGP) yang akan dilaksanakan kepada semua sektor. Ini ibarat tangga gaji yang akan naik secara berperingkat berdasarkan kemahiran, memastikan pendapatan kita seiring dengan sumbangan yang diberikan. Kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan bahagian pampasan pekerja kepada KDNK daripada 33.6% kepada 40% pada tahun 2030.
- Latihan Kemahiran: RMK13 juga akan memperkukuh program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Ini penting bagi mereka yang mahu mendapatkan kemahiran praktikal yang relevan dengan industri tanpa perlu melalui laluan akademik tradisional.
Menteri Kewangan II memangku Menteri Ekonomi, YB Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dalam ucapan penggulungannya, menjelaskan bahawa RMK13 adalah manifestasi komitmen Kerajaan untuk merealisasikan aspirasi Ekonomi MADANI.
Rancangan ini tidak hanya menumpukan pada pertumbuhan ekonomi, tetapi juga bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan memperkukuh tatakelola baik.
Artikel berkaitan : Ini 5 Perkara Yang Korang Perlu Tahu Mula Berkuat Kuasa Pada Hari Ini
Artikel berkaitan : Dah Boleh ‘Check’ SARA RM100, Ini Senarai Kedai Terpilih & Cara Beli Barang Asas
Ucapan penggulungan YB Datuk Seri Amir Hamzah Azizan juga menumpukan pada dua perkara utama:
- Keseimbangan Pembangunan: RMK13 akan memperhebat usaha untuk mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah, negeri, dan desa. Kerajaan komited untuk menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM611 bilion. Enam negeri yang kurang membangun iaitu Kedah, Kelantan, Perlis, Terengganu, Sabah, dan Sarawak, akan menerima peruntukan yang lebih tinggi iaitu RM93.9 bilion, berbanding RM83.91 bilion dalam RMK-12.
- Kesejahteraan Rakyat dan Keadilan Sosial: Rancangan ini memberi tumpuan kepada pelbagai dimensi kesejahteraan, termasuk peningkatan akses kepada pendidikan, kesihatan, perumahan, dan penciptaan kekayaan.Beberapa inisiatif penting yang digariskan termasuk:
- Menangani Kos Sara Hidup: Kerajaan akan meningkatkan jumlah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM15 bilion pada tahun 2025. Inisiatif seperti Jualan Rahmah, Bakul Rahmah, dan Menu Rahmah juga akan diteruskan.
- Reformasi Pasaran Buruh: RMK13 menyasarkan peningkatan bahagian pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 33.6% pada 2024 kepada 40% pada 2030. Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP) juga akan diperkenalkan kepada semua sektor.
- Persiapan Negara Tua: RMK13 merangka dasar responsif untuk menghadapi cabaran negara menua, seiring dengan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan, 2025-2045 (NAB) yang telah diluluskan.
Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan, Kerajaan akan memantapkan mekanisme dan struktur tadbir urus sedia ada. Pemantauan RMK13 akan dijalankan melalui Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD) dan sistem dalam talian MyRMK, di mana semua pihak berkepentingan akan melaporkan prestasi setiap suku tahun.
Kelulusan usul ini menandakan bahawa pembangunan negara di bawah RMK13 adalah tanggungjawab bersama, dipikul bukan sahaja oleh Kerajaan, tetapi juga oleh semua pihak, termasuk agensi dan masyarakat. Dengan iltizam politik dan penglibatan menyeluruh, usaha “Melakar Semula Pembangunan” ini diyakini akan memberi manfaat yang menyeluruh kepada rakyat.