Pada 31 Ogos lepas, tular rakaman memaparkan seorang wanita bertindak naik ke atas pentas utama dan mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah ketika Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Ipoh.
Susulan itu, wanita berkenaan telah ditahan dilokasi kejadian dan dibawa ke balai polis untuk disiasat. Menerusi perkembangan terbaru, wanita tersebut telah dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan untuk tindakan lanjut.
Artikel berkaitan: Perarakan Hari Kebangsaan Perak Kecoh, Wanita Dengan Sejarah Psikiatri Cuba ‘Peluk’ Sultan Nazrin
Anak bersuara susulan penahanan ibu?
Walau bagaimanapun, pada Selasa lalu, seorang lelaki yang mendakwa anak kepada wanita yang didakwa cuba mendekati Sultan Perak itu telah bersuara di media sosial berkenaan ibunya.
Menurutnya, dia meminta netizen untuk tidak membuat fitnah yang berlebihan terhadap ibunya dan hanya dia yang mengetahui sakit apa yang dialami wanita itu.
Posting yang dimuat naik di TikTok itu memaparkan gambar lelaki berkenaan bersama seorang wanita yang didakwa individu yang terlibat dalam kes tersebut.
Biar orang nak kata apa yang penting dia tetap mak aku.
“Tak perlu nak buat fitnah yang melebih, aku je yang tahu apa sakit yang dia alami selama ni. Semoga statemeng yang ***** buat untuk selesaikan kes ini berjalan dengan lancar.
Anak mana nak tengok mak sendiri dicaci sedangkan dia sakit seumur hidup,” tulis di kapsyen.
Sementara itu di ruang komen, lelaki terbabit juga mengatakan yang dia tidak akan memaafkan tindakan mereka yang tidak ‘censor’ video yang tular berkaitan isu membabitkan baginda Sultan Perak itu.
Pun begitu, perkongsian berkenaan telah mengundang pelbagai komen netizen yang mendakwa tindakan lelaki itu memuat naik gambar ibunya telah menyebabkan identiti ibunya tersebar.
Malah ada juga yang mengatakan perkara yang berlaku boleh menjadi asbab untuk menunjukkan betapa longgarnya tahap keselamatan terhadap individu bergelar VVIP.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita yang memakai kemeja dan seluar hitam telah berlari ke arah Sultan Nazrin yang sedang berdiri memberi tabik hormat ketika lagu kebesaran negeri Perak dimainkan.
Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah selain rekod rawatan psikiatri yang kini berada di bawah pengawasan pakar.
Sumber: Sinar Harian, TikTok