Penjelasan pakar patologi Hospital Queen Elizabeth, Dr Jessie Hiu dalam Mahkamah Koroner semalam menarik perhatian ramai.
Ia berhubung kemungkinan punca kematian arwah Zara Qairina Mahathir yang mengundang pelbagai tafsiran dan bayangan daripada netizen berdasarkan penerangan yang dibuat Dr Jessie semasa proses inkues berlangsung.
Menurut laporan, doktor berkenaan juga ada membuat demonstrasi serta menunjukkan kira-kira 30 keping gambar lawatan dan lakonan semula kejadian sebagai bahan sokongan keterangannya.
Artikel berkaitan: Pakar Patologi Tak Percaya Mesin Basuh Boleh Hidup Kalau Berat 53kg
Artikel berkaitan: Pakar Patologi Berpendapat Zara Qairina Tidak Mungkin Terjatuh Secara Tidak Sengaja Atau Ditolak
Individu kongsi lakaran model 3D untuk lebih ramai faham
Peka dengan persoalan masyarakat yang menginginkan gambaran yang lebih tepat, Muhammad Harris Nasril yang profesional dalam penghasilan model, animasi dan efek visual 3D digital tampil berkongsi lakarannya mengikut kefahaman berdasarkan apa yang dijelaskan Dr Jessie Hiu.
“Ramai yang tak dapat membayangkan apa yang disebut oleh Dr Jessie.
“Saya model semula tempat kejadian dalam 3D dan letak figura manusia mengikut ketinggian arwah Zara, 154 cm, dan ketinggian penghadang konkrit koridor beserta palang, 118 cm, seperti yang dinyatakan oleh Dr Jessie, pakar patologi inkues. Saya guna perisian 3D Studio Max.
“Semoga lebih jelas kepada semua:
“Dr Jessie Hiu, 58, berkata ukuran ketinggian dari lantai ke bahagian paling atas palang logam mendatar yang dipasang pada penghadang konkrit di tingkat tiga adalah 118 cm, manakala ketinggian Zara adalah 154cm. Ini menjadikan penghalang itu lebih tinggi daripada pusat graviti mangsa,” tulisnya.
Berdasarkan gambar yang dikongsikan, kelihatan figura manusia berada berhampiran dengan tembok konkrit berkenaan.
Ketinggian arwah Zara dan tembok itu juga digambarkan dengan perbezaan jarak 36 cm.
Pada masa yang sama, Harris juga membuat penafian dengan mengatakan visual yang dikongsikan hanyalah model 3D untuk tujuan ilustrasi semula berdasarkan kenyataan saksi pakar dan bukanlah rekonstruksi rasmi mahkamah.
Perkongsian ini telah menerima pujian netizen yang dapat membayangkan apa yang dijelaskan oleh Dr Jessie itu.
Terdahulu, awal pagi ini yang juga hari kedua inkues yang berlangsung di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu di Sabah, Dr Jessie Hiu, 58, memaklumkan pandangannya menerusi lakonan semula yang dilakukan dengan bantuan pegawai perubatan Jabatan Forensik HQE, Dr. Lau Cheng yang mempunyai ketinggian hampir sama dengan arwah.
Sumber: HM