BKK25

Sambutan Hari Koperasi Antarabangsa dan Bulan Koperasi Kebangsaan tahun ini mencatat pencapaian membanggakan dengan 16,284 koperasi direkodkan dengan keanggotaan lebih 7.2 juta individu, sehingga Disember 2024.

Koperasi-koperasi ini mengumpul syer dan yuran berjumlah RM 18.3 bilion serta jumlah aset keseluruhan bernilai RM173 bilion.

BKK25

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Ewon Benedick dalam ucapan perasmian Majlis Peluncuran Bulan Koperasi Kebangsaan (BKK) 2025 di Putrajaya baru-baru ini berkata, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah memperuntukkan RM2 juta bagi pelaksanaan Program Jelajah Koperasi, melibatkan penyertaan 160 koperasi seluruh negara.

Tambahnya lagi, setakat ini, 94 buah koperasi telah mendapat kelulusan pembiayaan berjumlah RM 1.026 juta.

Selain itu, RM642 ribu turut disalurkan untuk program Jualan MADANI Koperasi yang dilaksanakan secara menyeluruh di pelbagai lokasi. Program ini bertujuan menggalakkan penyertaan koperasi dalam aktiviti ekonomi tempatan dan memberi manfaat langsung kepada komuniti.

Datuk Ewon Benedict

Sambutan Hari Koperasi Antarabangsa dan Bulan Koperasi Kebangsaan memberi makna lebih mendalam apabila ia diraikan selaras dengan pengisytiharan Sabtu minggu pertama bulan Julai setiap tahun sebagai International Day of Co-operatives oleh Perikatan Koperasi Antarabangsa (ICA).

Dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai usaha mengiktiraf, mengangkat serta menyemarakkan semangat kerjasama dan kekuatan kolektif masyarakat menerusi platform koperasi.

Dalam pada itu, sambutan ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan berorganisasi secara koperasi, sekali gus memperkukuh semangat kerjasama dan solidariti dalam menempuh cabaran semasa.

Selain itu, BKK yang turut diiktiraf oleh Kerajaan merupakan manifesti penghargaan terhadap sumbangan signifikan gerakan koperasi dalam pembangunan sosioekonomi negara, merangkumi pelbagai sektor serta lapisan masyarakat.

Sumber : SKM