Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook beri amaran keras kepada pemandu bas persiaran yang terlibat dalam tragedi nahas di Gerik yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Isnin lalu.
Menurutnya, dakwaan pemandu itu bahawa brek tidak berfungsi akan dibuktikan menerusi siasatan yang sedang dilakukan.
“Brek tidak berfungsi itu adalah perkara yang boleh kita buktikan sama ada betul atau tidak. Kita tidak boleh mengambil secara permukaan sahaja apa yang dikatakan oleh pemandu tersebut, sama ada dia bercakap benar atau tidak.
“Saya hendak memberi amaran kepada pemandu itu, awak jangan cuba hendak menyatakan sesuatu yang tidak benar kerana itu boleh dibuktikan melalui ujian mekanikal,” katanya.
Artikel berkaitan: “Brek bas tak berfungsi” – Pemandu Mohon Maaf Kepada Keluarga Mangsa & Pelajar UPSI
Artikel berkaitan: Nahas Bas Pelajar UPSI: Lesen Pengendali Bas Dibatalkan Serta Merta
Dalam pada itu, Anthony juga memaklumkan terdapat beberapa perkembangan lain turut disiasat termasuk rakaman video yang menunjukkan bas itu memotong kenderaan di selekoh.
Tambahnya, pengendali bas persiaran itu didapati gagal Pemeriksaan dan Audit Keselamatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JISA).
Jelasnya, terdapat tujuh perkara mandatori dalam audit tersebut dan syarikat itu gagal mematuhinya.
Antaranya, GPS bagi memantau kelajuan tidak diaktifkan, selain tiada pemantauan had maksima lapan jam pemanduan untuk dipatuhi oleh pemandu serta keperluan waktu rehat 30 minit setiap empat jam pemanduan.
Susulan kes ini, beliau telah mengarahkan JPJ untuk membuat audit JISA secara besar-besaran terhadap semua syarikat pengendali pengangkutan awam termasuk bas dan lori.
Sumber: Kosmo!