Semalam, Lobak Merah ada melaporkan mengenai pendedahan Caprice berkenaan sebuah grup di Facebook yang berkongsi gambar-gambar pelajar sekolah dan budak di bawah umur sebagai bahan lucah ahli grup tersebut.
Isu itu telah mendapat perhatian ramai dan ahli grup berkenaan juga katanya sudah sedia maklum bahawa grup mereka kini dalam ‘pemantauan’ Caprice.
Artikel berkaitan: “Ada 11k member” – Caprice Dedah Group FB ‘Budak Sekolah’ Yang Dipenuhi Dengan Lelaki ‘Perv*rt’
Gambar Mekyun dalam grup ‘budak sekolah’?
Namun semalam, pempengaruh Mekyun tampil membuat satu hantaran mendedahkan bahawa dia juga sebenarnya mangsa di dalam kes ini.
Menurut Mekyun, sejak semalam, dia menerima pelbagai mesej daripada netizen yang mengatakan bahawa gambarnya sewaktu sekolah juga telah didedahkan di dalam grup ‘budak sekolah’ tersebut.
Jijik dan berasa marah dengan apa yang berlaku, Mekyun memohon para netizen untuk melaporkan grup berkenaan dalam usaha untuk melindungi kanak-kanak daripada mereka yang melakukan jenayah ini.
Ini bukan lawak, ini bukan suka-suka. Ini SALAH dan ini JENAYAH. Hari ini Mekyun bersuara sebab kita tak boleh diam, kita tak boleh biarkan.
“Kita semua kena jadi suara kepada budak-budak yang tak mampu bersuara. Mekyun mohon PDRM, MCMC dan YB Fahmi Fadzil, tolong siasat dan hentikan semua benda ini.
“Ini bukan pasal Mekyun, ini pasal budak-budak yang tak tahu langsung gambar mereka diperdagangkan dalam group kotor itu. Siapa lagi yang nak lindungi budak-budak semua tu kalau bukan kita?” katanya.
Mekyun juga pada masa yang sama mendedahkan komen-komen yang ditulis ahli grup tersebut yang sangat menjijikkan sehingga buat dia rasa hendak marah, jijik serta nak muntah.
Namun dalam satu perkongsian terbaru, Mekyun mendedahkan usaha dirinya serta orang ramai dalam melaporkan grup tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila grup tersebut berjaya dipadamkan daripada aplikasi Facebook.
Syukurlah masih ramai yang prihatin dengan kes macam ni. Betullah kata Mekyun, kalau bukan kita, siapa lagi yang nak lindungi budak-budak ini?
Sumber: Instagram