Kehilangan isteri kepada seorang ahli perniagaan terkenal di Sarawak, Datin Seri Pamela Ling Yueh sebulan lalu masih menjadi misteri sehingga ke hari ini.
Menerusi kenyataan terkini daripada pihak polis, kemungkinan bahawa kes penculikan dirancang oleh wanita itu sendiri.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, elemen itu antara yang disiasat pihaknya ketika ini.
Artikel berkaitan: Kronologi Kehilangan Isteri Taikun Bisnes Sarawak, Dipercayai Diculik Ketika Dalam Perjalanan Ke Pejabat SPRM
Artikel berkaitan: Polis Sahkan Wanita Maut Tercamp*k Dari Van Di Lebuhraya KESAS Bukan Datin Seri Pamela Ling
Jelasnya, berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), kejadian tersebut dilihat berlaku dengan lancar tanpa sebarang pergelutan dengan mangsa memberi kerjasama kepada suspek.
“Kita tidak dapat mengesahkan kesahihan perkara ini, namun ia turut diambil kira dalam elemen siasatan kita.
“Pada masa ini, kita menyiasat dari semua aspek sama ada kes ini benar-benar satu penculikan atau sesuatu yang dirancang oleh mangsa sendiri,” katanya.
Polis yakin Pamela masih hidup
Sementara itu, polis juga percaya Pamela yang diculik ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 9 April lalu masih lagi hidup.
“Ada orang yang baru hilang dah meninggal, tapi saya yakin dalam kes ini, dia (Pamela Ling) masih ada lagi (hidup),” katanya.
Menerusi semakan Jabatan Imigresen, tiada sebarang rekod menunjukkan berlakunya pergerakan keluar wanita itu dari negara.
“Kali terakhir dia keluar dari negara adalah ke Singapura pada bulan Januari. Sehingga kini, tiada rekod pergerakan keluar menggunakan saluran sah. Tapi kita kena ingat, ada yang keluar guna pasport, ada juga yang keluar melalui saluran tidak sah.
“Apa pun, merujuk kepada data rasmi Jabatan Imigresen, dia masih berada di dalam negara,” ujarnya.
Menurut pihak polis lagi, tiada sebarang operasi dijalankan di sekitar Putrajaya ketika insiden penculikan itu berlaku.
Ketika kejadian, Pamela didakwa sempat memberikan wang tunai berjumlah RM100 kepada pemandu e-hailing sebelum dipaksa mengikuti individu yang menyamar sebagai anggota polis.
Sumber: Berita Harian, Astro Awani