Suasana Hari Pekerja 2025 di Axiata Arena memang lain macam. Bukan sekadar penuh dengan aktiviti dan orang ramai, tapi juga penuh dengan maklumat yang boleh ubah cara kita tengok dunia kerja dan perlindungan sosial.
Antara booth yang betul-betul buat orang rasa “patut aku tahu benda ni dari dulu” ialah booth PERKESO dan MYFutureJobs. Dua agensi yang mungkin selalu kita dengar nama, tapi baru haritu ramai mula faham apa sebenarnya peranan mereka dan macam mana ia boleh bantu dalam kehidupan harian.
Rupanya ada banyak lagi benda yang kita tak tahu pasal PERKESO!
Selama ni ramai ingat PERKESO hanya untuk pekerja tetap atau syarikat besar. Tapi info yang dikongsi dekat booth haritu tunjuk cerita sebenar — sekarang, perlindungan sosial PERKESO merangkumi lebih banyak golongan termasuk pekerja sendiri, rider penghantar makanan, peniaga mikro dan suri rumah.
Antara yang paling menarik perhatian ialah perlindungan 24 jam sehari, bukan terhad waktu kerja sahaja. Ditambah pula dengan elaun latihan, bantuan mobiliti RM1,000, dan elaun untuk kembali bekerja awal, ramai yang baru tahu mereka sebenarnya layak.
Ada juga info tentang kenaikan elaun latihan ke RM30 sehari dan Fi Latihan yang sekarang boleh dituntut sehingga RM7,000. Siapa yang tengah nak tukar kerjaya atau upgrade skill, peluang ni sangat relevan.
Aplikasi MyFutureJobs dilancarkan dengan sokongan AI untuk pengalaman lebih pintar
Selain itu, PERKESO turut memperkenalkan aplikasi baru MYFutureJobs. Aplikasi ini datang dengan sistem padanan kerja automatik, paparan lebih ringkas dan notifikasi terus ke telefon bila ada temuduga atau peluang kerja yang sesuai.
Antara fungsi yang pengunjung nampak paling berguna:
- Cari kerja ikut lokasi, minat atau bidang kemahiran
- Sistem padanan kerja secara AI mengikut kelayakan
- Boleh terus daftar dan mohon melalui aplikasi tanpa perlu bawa CV fizikal
Ada pelajar universiti yang baru tahu mereka boleh guna platform ni je dari awal untuk cari latihan industri. Ada juga pekerja berpengalaman yang nampak peluang baru yang tak pernah mereka fikir pun sebelum ni.
Hari Pekerja kali ini memang bukan sekadar simbolik. Ramai yang datang dengan niat nak ambil tahu dan balik dengan semangat baru. Lagi-lagi bila dorang mula faham hak sebagai pekerja dilindungi dan peluang kerja lebih mudah dicapai.
Kalau korang tak sempat hadir ke karnival tempoh hari, tak apa. Layari je laman rasmi perkeso.gov.my atau myfuturejobs.gov.my untuk semak kelayakan, daftar akaun, atau cari peluang kerja yang sesuai dengan keperluan korang.
Apa pun latar belakang pekerjaan korang, penting untuk sentiasa tahu apa hak dan pilihan yang ada. Lagi cepat kita ambil tahu, lagi bersedia kita bila peluang atau cabaran datang.