Penyanyi era 90-an yang terkenal dengan lagu berentak nusantara, Sheqal, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Jaafar, Seremban selepas mengalami jangkitan kuman serius pada paru-paru sejak Khamis lalu.
Menurut isterinya, Normah Mohd Yusoff, 58, Sheqal dikejarkan ke hospital selepas tahap oksigen dalam badannya menurun secara drastik hingga mencecah 62 peratus.
Pernafasannya tak stabil dan doktor nasihatkan dia ditidurkan kerana ada jangkitan kuman di paru-paru dan juga paru-paru berair”
Tambah Normah, penyanyi lagu Cinta Nusantara itu kini masih belum sedarkan diri walaupun keadaannya dilaporkan menunjukkan sedikit perkembangan positif. Oksigen dalam badan Sheqal telah meningkat semula, dan doktor sedang melakukan pemantauan rapi termasuk imbasan CT bagi menilai keadaan organ lain.
Memetik laporan Astro Awani, setakat pagi Sabtu, Sheqal masih ditidurkan dan tiada jangkaan bilakah beliau akan dibangunkan semula.
Sheqal atau nama sebenarnya Shahrin Salehuddin, 59, sebelum ini berdepan pelbagai masalah kesihatan termasuk empat serangan angin ahmar sejak 2020. Beliau juga menghidap penyakit buah pinggang tahap empat dan kini bergantung kepada kerusi roda.