Seorang pemandu wanita yang menyebabkan kematian tiga penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, dilepaskan dengan jaminan RM40,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terenggangu hari ini.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani, membuat keputusan itu selepas mengambil kira beberapa perkara termasuk faktor kesihatan mental tertuduh, Norizan Ismail, 50 tahun.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan dua orang penjamin dan ditetapkan tujuh syarat jaminan.
Artikel berkaitan: Sebabkan Kematian 3 Pelajar UiTM Dungun, Pemandu Wanita Layak Dibicarakan & Akan Didakwa
Artikel berkaitan: “Bersujud pada ahli keluarga mangsa…” – Suami Wanita Langgar Pelajar UiTM Dungun Mohon Maaf
Norizan dikehendaki melapor diri di Balai Polis Daerah (IPD) Dungun dua kali sebulan pada setiap minggu pertama dan minggu ketiga setiap bulan.
Penjamin atau suami tertuduh hendaklah memastikan kunci kenderaan tidak boleh diakses atau memberi kunci kenderaan kepada tertuduh.
Tertuduh tidak dibenarkan keluar dari rumah tanpa kehadiran suami dan anak, jika ada boleh mengikuti bersama dengan kehadiran suami.
Selain itu, Norizan diperintahkan mendapatkan rawatan di hospital berkaitan dan dia juga tidak dibenarkan mengganggu saksi-saksi yang terlibat di dalam kes ini sehingga perbicaraan selesai.
Sekiranya tertuduh melanggar mana-mana syarat jaminan, mahkamah akan membatalkan permohonan jaminan secara automatik dan wang akan dirampas.
Terdahulu, tertuduh telah didakwa di mahkamah bersabit kesalahan di bawah Seksyen 307 dan 302 kanun keseksaan.
Norizan didakwa telah menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 21, dan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anuar Jamaluddin, masing-masing berusia 20 tahun.
Dalam kejadian yang berlaku pada 9 Oktober tahun lalu di Jalan Pantai berhadapan UiTM Dungun, Norizan yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV merempuh empat penuntut UiTM hingga menyebabkan tiga daripadanya maut.
Sumber: Buletin TV3