Program ibadah korban di Kampung Bukit Tembakau bertukar cemas apabila seorang warga emas cedera selepas ditanduk seekor lembu korban, semalam.
Memetik laporan Astro Awani, kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu menyaksikan Md Rabu Ahmad, 60, yang merupakan salah seorang peserta program korban anjuran Masjid Al-Faizin, mengalami kecederaan serius termasuk patah tulang rusuk dan pendarahan di paru-paru.
Menurut anak mangsa, Siti Nur Sakierah Md Rabu, 28, ayahnya kini dirawat di Hospital Jasin dan berada dalam keadaan stabil. Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa pihak hospital terpaksa memasang tiub untuk mengeluarkan darah dari paru-paru mangsa akibat kesan tandukan tersebut.
Memang ayah sering turun padang setiap kali ada program korban, dia seronok bantu kawan-kawan uruskan lembu. Tapi kali ini lain pula jadinya.”
Difahamkan, insiden berlaku ketika Md Rabu sedang menghampiri lembu kedua yang ingin disembelih, sebelum haiwan tersebut tiba-tiba bertindak liar dan menyerangnya secara mengejut.
Insiden ini menjadi peringatan bahawa meskipun ibadah korban adalah rutin tahunan, aspek keselamatan tetap perlu diberi keutamaan ketika berurusan dengan haiwan besar seperti lembu yang boleh menjadi agresif dalam keadaan tertentu.