Kegiatan licik sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit misi kemanusiaan di Syria dikesan menyeleweng sumbangan orang ramai melibatkan jumlah RM26 juta.
Perkara itu terbongkar selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat tangkapan lima suspek termasuk pengerusi, setiausaha, bendahari dan pegawai kewangan NGO itu menerusi Op Serantau dijalankan SPRM Selangor.
Serbuan juga dibuat di beberapa lokasi di sekitar Selangor, Melaka dan Pulau Pinang bermula Khamis lalu.
Artikel berkaitan: SPRM Serbu Aman Palestin, Rampas Pelbagai Barangan Termasuk 4 Jongkong Emas Seberat 1Kg Setiap Satu
Artikel berkaitan: Libatkan Dana RM 20 Juta, Pengarah & CEO Aman Palestin Hadapi 52 Pertuduhan Pecah Amanah
Menurut laporan, mereka didakwa memindahkan dana NGO ke akaun peribadi, bukan sahaja untuk pembelian barang kemas, kereta mewah, tanah dan rumah, malah turut terlibat dalam pelaburan mata wang kripto.
“Modus operandi menyeleweng dana ini hampir sama seperti yang berlaku dengan pertubuhan Aman Palestin apabila mereka memindahkan wang ke dalam akaun peribadi, selain bagi membeli barang kemas, kereta, tanah, dan mata wang kripto.
“Mereka juga dipercayai memindahkan dana pertubuhan ke akaun peribadi bagi memberi pinjaman kepada kakitangan pertubuhan terbabit, selain menggelapkan wang lebihan projek pembinaan telaga bagi misi kemanusiaan di Syria untuk kegunaan sendiri,” katanya.
RM8 juta aset dirampas, 14 akaun dibekukan
Difahamkan, kegiatan menyeleweng dana hasil sumbangan orang ramai itu dipercayai berlaku sejak 2015 hingga sekarang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sudah menyita pelbagai aset berjumlah lebih RM8 juta iaitu wang tunai lebih RM1 juta, barang kemas dianggarkan bernilai kira-kira RM100,000, akaun kripto bernilai kira-kira RM650,000 dan empat unit rumah dianggarkan bernilai lebih RM1.4 juta dalam operasi berkenaan.
Mala, SPRM juga sudah membekukan 14 akaun perbankan membabitkan jumlah hampir RM5 juta bagi tujuan siasatan lanjut.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah oleh penjawat awam atau ejen.
Sumber: Buletin TV3