Seperti yang ramai sedia maklum, awal pagi ini kita dikejutkan dengan berita seramai 15 orang mangsa disahkan maut dalam satu kemalangan tragis yang membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik.
Menurut sumber, kejadian itu dilaporkan berlaku sekitar jam 1.10 pagi apabila pihak Hospital Gerik memaklumkan tentang kemalangan jalan raya berimpak tinggi di kawasan tersebut.
Artikel berkaitan: 4 Anggota FRU Terlibat Kemalangan Dibenar Keluar ICU
Artikel berkaitan: “Tolong encik, tolong selamatkan saya” – Bomba Sebak Dengar Rintihan Pemandu Trak FRU Ketika Masih Sedar
Ada yang keluar sendiri selamatkan diri, ada mangsa yang tercampak
Dalam satu perkembangan terbaru, sumber mendedahkan ada mangsa kemalangan bas yang berjaya keluar sendiri menyelamatkan diri dan ada juga yang tercampak selepas bas itu terlibat dalam kemalangan.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, sebaik tiba, bomba mendapati ada mangsa yang berjaya keluar sendiri, ada yang tercampak keluar serta ada mangsa yang masih berada di dalam bas.
Pegawai dari anggota bomba dan penyelamat (BBP) Gerik dan Jeli telah dikejarkan ke lokasi kejadian yang mana membabitkan 17 orang, dengan anggota PDRM 10 orang, pegawai Kementerian Kesihatan (21) dan Angkatan Perkhidmatan Awam (4).
Jentera bomba tiba di tempat kejadian pada 2.05 pagi. Kemalangan membabitkan dua kenderaan itu dengan bas terbalik, sementara kereta terbabas ke dalam parit.
“Bas dan Perodua Alza di laluan sama iaitu dari Jeli ke Gerik. Semasa jentera sampai didapati kemalangan membabitkan mangsa seramai 48 orang.
“Terdapat mangsa yang berjaya keluar dengan sendiri, ada mangsa yang tercampak keluar dan ada mangsa yang masih berada di dalam bas.
“Setakat ini, 13 mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala 31 orang cedera (mangsa dari bas) dan tiga mangsa mengalami kecederaan ringan dan seorang mangsa mengalami patah tangan (dari Perodua Alza) dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya lagi, ketua operasi juga melakukan ‘size up’ dan mengaplikasikan konsep ‘saver’ dengan mengarahkan anggota membuat pemotongan pada bahagian belakang bas untuk membuat ruang kerja dengan menggunakan peralatan khas.
Dengan membuat ruang kerja itu, pihaknya mendapati sebanyak enam mangsa masih berada di dalam bas, dengan dua mangsa parah dan empat mangsa didapati meninggal dunia dan tidak tersepit.
Tindakan penyelamatan kemudian dilakukan oleh pihak bomba dengan menstabilkan mangsa yang cedera dan membawa mereka keluar dari bas dan diserahkan kepada pihak KKM.
Katanya lagi, mangsa cedera termasuk yang berjaya keluar dengan sendiri telah diberi rawatan awal oleh pihak KKM yang berada di lokasi.
Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Mangsa yang cedera dihantar ke hospital,” katanya.
Al fatihah buat mangsa yang terlibat dan takziah kepada keluarga mangsa-mangsa ini. Berita lanjut mengenai kejadian ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Sumber: Harian Metro