Thaipusam adalah perayaan kedua terbesar disambut oleh penganut beragama Hindu selepas Deepavali dan ia disambut pada bulan kesepuluh kalendar Tamil yang dikenali sebagai bulan ‘Thai’, yang jatuh pada sekitar Januari dan Februari.
Pada hari tersebut, bulan penuh Thai berada pada kedudukan melintasi bintang terang bernama Pusam, maka dari situ asal namanya.
Penganut Hindu akan hadir dengan memakai pakaian tradisional masyarakat India berwarna-warni namun mereka yang ingin bersembahyang dan bernazar, kebanyakannya memakai pakaian serba kuning kerana warna itu warna kegemaran Dewa Murugan.
Sambutan ini bagi memperingati kemenangan dewa Hindu iaitu Dewa Murugan yang juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam. Disebabkan itu, perayaan ini berpusat di kuil-kuil Dewa Murugan dan salah satu lokasi popular adalah di Batu Caves, Selangor.
Artikel berkaitan: “Ini bukan Deepavali” – Tegur Individu Menari Sambil Buat Ucapan, Wanita India Perjelas Maksud Sebenar Thaipusam
Penganutnya yang menunaikan nazar akan berpuasa. Manakala, bagi yang bernazar dan jika permohonan dimakbulkan, maka perlu melakukan upacara sebagai tanda kesyukuran.
Caranya, mereka akan membawa dan mengusung kavadi, menjunjung belanga mengandungi susu, menindik, mencukur rambut dan menyembah Dewa Murugan dengan membawa pelbagai persembahan.
Dewa peperangan dicipta untuk kalahkan Surapadma
Perayaan ini, menurut satu kisah purba, dikatakan berlaku satu peperangan antara makhluk jahat digelar golongan Asura bernama Surapadma dengan para dewa.
Para dewa tidak dapat mengekang kebuasan Surapadma, lantas merayu kepada Dewa Shiva untuk mengurniakan mereka pemimpin yang dapat mengalahkan Surapadma.
Maka dengan kuasa Achintya Shakti dimilikinya, diciptakan satu pahlawan unggul sebagai Dewa Peperangan bernama Murugan, yang turut dikenali dengan nama Subramaniam, Skanda, Kumara dan Kartikeya.
Kemudian isteri Shiva, Parvati mengurniakan kepada anaknya Murugan senjata suci berupa lembing dipanggil ‘Vel’ yang akhirnya berjaya menumpaskan Surapadma serta konco-konconya.
Ketika makluk jahat itu hampir mati di tangan Murugan, Surapadma memohon keampunan. Pengampunannya diterima dan dia telah bertukar menjadi Vahana yang berbentuk seekor burung merak serta menjadi tunggangan para dewa.
Laungan Vel! Vel! ketika perayaan dan simbol disebaliknya
Daripada kisah purba itulah di mana tarikh penyerahan kuasa dalam bentuk vel telah disambut sebagai perayaan Thaipusam. Sebab itu juga kita sering mendengar laungan ‘Vel! Vel!’ semasa perayaan ini.
Laungan ‘Vel! Vel!’ itu bagi memperingati kejayaan Dewa Murugan menghapuskan kejahatan menggunakan senjata sakti itu dan ‘Vel! Vel!’ pula dikenali sebagai lembing kemenangan.
Kepentingan tarian kavadi
Bagi yang memohon ampun agar dosa mereka diampunkan, kavadi akan dibawa atau dijunjung di atas bahu atau di atas kepala.
Kavadi ini diperbuat daripada beberapa rod besi atau kayu yang di atasnya terletak patung dewa Murugan dengan pelbagai saiz dan bentuk. Antara hiasan utama kavadi ialah bulu burung merak dan bunga-bungaan dan amalan mencucuk besi pada anggota badan pula adalah cara mereka memohon ampun.
Setiap kali sambutan Thaipusam, akan ada perarakan dari kuil Mariamman ke kuil Murugan. Ia adalah simbolik kepada peristiwa Parvathi menyerahkan ‘vel’ kepada Murugan untuk menghapuskan Surapadma.
Kalau korang nak tahu, perayaan Thaipusam lebih meriah sambutannya di Malaysia berbanding di India kerana di negara sana, mereka merayakan Pesta Ponggal lebih meriah berbanding Thaipusam.
Artikel berkaitan: “Semakin tidak sensitif” – Mufti Pulau Pinang Kesal Lihat Orang Islam Sertai Perarakan Kuil
Jadinya, laungan Vel! Vel! itu sendiri begitu penting bagi penganut Hindu dan bukan sekadar sorakan yang dibuat-buat semasa perayaan Thaipusam.
Sumber: Majlis Belia Malaysia, Astro Awani