Umumnya kita tahu bahawa doa adalah satu bentuk kasih sayang yang paling ikhlas, lebih-lebih lagi apabila ia datang daripada seseorang yang tidak kita kenali.
Menerusi perkongsian yang tular di Threads, seorang pengguna dikenali sebagai @akem.idham menceritakan pengalaman menyentuh hati ketika berbuka puasa dan menunaikan solat di Masjid Putrajaya.
Menurutnya, apa yang berlaku selepas solat membuatkan dirinya berasa sebak.
“Semalam berbuka puasa kat masjid Putrajaya, lepas solat ada sorang laki sebelah aku ni doa untuk Elizabeth Tan — ‘kurniakanlah Elizabeth Tan anak bla bla bla, berikanlah kebahagiaan kepada dia bla bla bla..’
“Panjang doa tu. Aku dengar pun sebak sebab doa dia ikhlas sangat walaupun mereka berlainan agama. Sungguh-sungguh dia minta…”
Lebih menyentuh hati, doa tersebut didengari secara tidak sengaja kerana mereka duduk bersebelahan. Walaupun dilafazkan perlahan, keikhlasannya begitu jelas terasa.
Artikel berkaitan: “Omg im so sorry” – Elizabeth Tan Mohon Maaf Terlanggar PMX Gara-gara Terlalu Excited
Artikel berkaitan: “80% peminat adalah lelaki” – Post Pakai Baju Kahwin, Elizabeth Tan Cuak Ada Peminat Kecewa Sampai Nak Bunuh Diri?

Apabila diberitahu mengenai perkara itu, penyanyi dan pelakon popular Elizabeth Tan, 32, yang mesra disapa Lizzy, tidak dapat menahan sebak dan meluahkan rasa terharu.
“Menangis saya baca. Terima kasih kerana beritahu saya. Saya sangat menghargainya. Ya, saya sangat bertuah dan rasa disayangi,” katanya.
Rata-rata netizen turut berkongsi rasa yang sama di ruangan komen, menyifatkan Lizzy sebagai seorang yang sangat bertuah kerana namanya disebut dalam doa yang ikhlas lebih-lebih lagi pada Hari Arafah, antara hari yang dimakbulkan doa.
Untuk info, Elizabeth mendirikan rumah tangga bersama Siew Jim pada 21 Mac 2021, namun masih belum dikurniakan zuriat. Pelakon filem Sheriff: Narko Integriti ini juga pernah melalui detik perit apabila mengalami dua kali keguguran.
Semoga doa-doa yang baik ini menjadi asbab kebahagiaan buat Lizzy suatu hari nanti.