“Kami ditipu ustaz sendiri…” – Jemaah Dedah Detik Cemas Redah Bukit, Padang Pasir Setelah Ditipu Pakej Haji Palsu

15 hours ago 11

Hasrat 47 jemaah warga emas untuk menunaikan haji bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka menjadi mangsa penipuan pakej haji palsu yang dipercayai didalangi seorang individu bergelar ustaz.

Salah seorang mangsa, Syed, 63, berkata dia, isterinya Sharifah, 64, dan seorang ahli keluarga lain mengalami kerugian keseluruhan RM81,000 selepas masing-masing membayar RM27,000 kepada penganjur yang dikenali menerusi kelas agama di Batu Pahat.

Katanya, ustaz pembimbing itu dikenali ramai dan berjaya meyakinkan peserta dengan maklumat lengkap termasuk jadual perjalanan dan dakwaan bahawa jemaah terdahulu tiada masalah memasuki Makkah.

“Mereka anjur dua kali kursus haji. Dalam ceramah, tak cerita langsung risiko. Mereka guna nama madrasah, jadi kami yakin.

“Tapi sebaik sampai di Jeddah, kami dibahagikan kepada kumpulan kecil dan dipaksa meredah semak, bukit, dan kawasan kilang tanpa visa,” katanya, lapor Harian Metro.

Artikel berkaitan: Kes Jemaah Haji Dipaksa Redah Laluan Bahaya Ke Makkah, Polis Terima 3 Laporan Berkaitan Kes Penipuan Pakej Haji

Artikel berkaitan: “Kena jalan kaki, redah padang pasir tanpa makanan” – 47 Warga Emas Ditipu Ejen Haji, Dipaksa Lalui Laluan Bahaya ke Makkah

photo 6251514793173305987 y 1750586561Gambar yang dikongsikan oleh mangsa yang meninjukkan kawasan berbukit yang terpaksa diredah untuk masuk ke Makkah. Kredit gambar Harian Metro

Menurutnya, dalam perjalanan ke Makkah, ada jemaah yang menaiki lori, kereta dan bas dengan bantuan penduduk tempatan.

Keadaan menjadi lebih cemas apabila kumpulan wanita ditempatkan berasingan tanpa pengiring lelaki, menimbulkan kebimbangan dari segi keselamatan.

Setibanya di apartmen di Makkah, jemaah tidak dibenarkan keluar dan ‘terkurung’ selama 21 hari. Mereka tidak dibenarkan membuka tingkap, liputan internet tiada dan makanan dicatu.

“Kalau tahu begini, diberi percuma pun saya tak mahu. Panas mencecah 50 darjah Celsius. Kalau teksi Arab Saudi tak datang, kami terbiar begitu saja,” ujarnya.

Adik iparnya, Nurlila, 57, pula berkata mereka kadangkala terpaksa makan dalam gelap, hanya diberi lempeng atau roti untuk sarapan dan nasi telur untuk makan tengah hari. Waktu malam, lampu perlu dipadam awal dan jemaah diarahkan berzikir di dalam bilik.

“Tak boleh buka tingkap. Kalau ada yang tak ikut arahan, ada ‘penjaga’ datang marah. Kita tak tahu siapa mereka,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Nura, 64, berkata lima hari pertama di Madinah berjalan lancar, namun pergerakan ke Makkah mula menjadi sukar selepas pihak ejen gagal menyediakan visa haji.

“Perjalanan masuk ke Makkah dilakukan secara senyap, melalui laluan padang pasir untuk elak kawalan pihak berkuasa. Kami jalan kaki dalam cuaca sangat panas.

“Ada yang pengsan, letih sangat,” katanya yang pertama kali menunaikan haji dan menyangka pakej itu sah.

Terdahulu, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 58 dan 59 tahun, termasuk suspek utama yang dipercayai menggunakan kedudukan sebagai ustaz serta pemilik madrasah untuk memperdaya mangsa.

Bayaran pula dimasukkan terus ke akaun atas nama institusi tersebut.

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |