Drama bersiri tempatan Bidaah arahan Mohd Fazli Yahya kini mencuri perhatian ramai bukan sahaja kerana plot yang mendebarkan, tetapi kerana keberaniannya menyentuh isu yang jarang disentuh, iaitu penyelewengan agama oleh individu berkepentingan.
Ditayangkan di platform penstriman Viu Malaysia dan Indonesia, karya terbitan Rumah Karya Citra milik Erma Fatima ini telah meraih lebih 2.5 bilion tontonan, satu angka luar biasa yang menggambarkan impaknya terhadap penonton di kedua-dua negara.
Mengisahkan Baiduri lakonan Riena Diana, seorang wanita yang terjerat dalam kumpulan ekstremis diketuai oleh Walid Muhammad (dilakonkan oleh Faizal Hussein), drama ini menyingkap sisi gelap pemimpin agama yang memperalatkan kepercayaan untuk tujuan peribadi, dari perkahwinan paksa sehinggalah eksploitasi seksual dan kawalan minda.
Antara petikan paling meremangkan bulu roma ialah: “Pejamkan mata, bayangkan muka Walid”, yang jelas menunjukkan betapa mendalamnya pengaruh tokoh atau ketua ini terhadap pengikutnya.
Watak Walid yang mengaku sebagai Imam Mahdi, digambarkan mempunyai aura dan kelebihan retorik yang menawan, namun di sebalik imej suci itu tersembunyi kepalsuan yang memerangkap pengikut dalam ajaran sesat.
Konflik memuncak apabila anak kandung Walid, Hambali (lakonan Fattah Amin), pulang dari Yaman dan mula mempersoalkan ajaran ayahnya sendiri. Perjuangan beliau bersama Baiduri untuk membebaskan komuniti dari cengkaman agama songsang menjadi nadi kepada kisah ini.
Pujian Asatizah terhadap Drama ‘Bidaah’
Fenomena Bidaah turut mendapat perhatian tokoh agama, termasuk Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza) yang memuji keberanian drama ini dalam mendedahkan mereka yang berselindung di sebalik imej kerohanian.
Apabila jubah yang membalut kezaliman terbakar, yang terdedah bukan sekadar wajah sebenar, tetapi kerakusan yang disorok sekian lama.” – Dr Maza
Pendakwah bebas, Ustaz Amin Idris turut memberikan pandangannya. Beliau berkongsi pengalaman berbual dengan rakan dari Indonesia yang menyatakan bahawa isu yang diketengahkan dalam drama tersebut bukanlah rekaan semata, sebaliknya mencerminkan situasi sebenar yang berlaku di sana.
Namun menurutnya, tanpa konteks yang betul, drama seperti ini juga boleh memberi kesan negatif terhadap imej Islam dan para agamawan.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pula menyatakan bahawa beliau sedang meneliti kandungan drama itu dan akan memberikan penjelasan lanjut.
Katanya, walaupun naratifnya mencabar, ia membuka ruang perbincangan yang sihat, yang perlu ditangani dengan adil dan rasional, bukan dengan emosi semata-mata.
Sumber: Malaysia Kini
Baca: Gara-gara Watak Walid, Faizal Hussein Dedah Terima Mesej Anak Dara Mahu Jadi ‘Isteri Batin’