Sejak semalam, tular kes berkaitan seorang kanak-kanak yang berusia 7 tahun dilaporkan lemas di kolam rendang rumah inap dekat sebuah kondominium di Taman Kota Shahbandar, Kota Laksamana, Melaka.
Namun berita sedih menyelubungi awal pagi ini, apabila dilaporkan kanak-kanak berkenaan disahkan meninggal dunia selepas 16 jam bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak (PICU) Hospital Melaka selepas berada dalam keadaan kritikal.
Berita ini dikongsikan sendiri oleh bapa mangsa menerusi video yang dimuat naiknya menerusi akaun TikTok sekitar jam 3.30 pagi tadi.
Artikel berkaitan: Kanak-kanak Lelaki Berusia 7 Tahun Lemas Di Kolam Renang ‘Homestay’ Di Melaka
Doakan cahaya mata kami ditempatkan bersama-sama orang-orang beriman. Allah lebih sayangkannya, mohon doa semua sahabat permudahkan urusan kami.
“Jika tiada halangan jenazah akan dibawa pulang ke Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor untuk dikebumikan di sana,” katanya menerusi kapsyen di TikTok.
Terdahulu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Zahery Mohd Zailani berkata, pihaknya ada menerima panggilan kecemasan pada jam 9.45 pagi sebelum tiga jentera termasuk van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dengan tiga anggota dikejarkan ke lokasi.
Setibanya di tempat kejadian, didapati seorang kanak-kanak lelaki Melayu berumur 7 tahun telah lemas dan dikeluarkan dari kolam renang oleh orang awam sebelum pasukan bomba sampai.
“Pasukan bomba cuba memberikan bantuan pernafasan resusitasi kardiopulmonari (CPR) kepada mangsa yang tidak sedarkan diri namun dikatakan gagal,” katanya.
Al fatihah dan takziah kepada keluarga mangsa.
Sumber: Malaysia Gazette, TikTok