Penyanyi tersohor Amerika Syarikat (AS), Katy Perry bakal mencipta sejarah apabila menjadi bintang pop pertama meneroka angkasa lepas, Isnin ini.
Katy antara enam selebiriti akan menaiki kapsul dan roket yang dibangunkan Blue Origin iaitu syarikat penerbangan angkasa lepas milik bilionair Jeff Bezoz.
Selain Katy, antara kru wanita yang menyertai misi ini ialah wartawan dan tunang Bezos, Lauren Sanchez; hos CBS Mornings, Gayle King; bekas saintis roket Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa), Aisha Bowe; saintis penyelidikan bioastronautik, Amanda Nguyen dan penerbit filem, Kerianne Flynn.
Artikel berkaitan: “Catat 4 rekod dunia baru!” – Penerbangan Komersial Pertama Ke Angkasa Lepas Berjaya!
Artikel berkaitan: Menakutkan! Dua Angkasawan ‘Tersangkut’ Di Angkasa Dah Hampir 2 Bulan, Ini Apa Yang Berlaku…
Apa yang lebih menarik, misi ini menjadikan mereka kru penerbangan wanita sepenuhnya yang pertama sejak lebih enam dekad lalu. Mereka dijadualkan berlepas pada 9.30 pagi (waktu tempatan) dari tapak pelancaran Blue Origin di Van Horn, Texas.
Misi ini merupakan penerbangan manusia ke-11 bagi program New Shepard, menyediakan peluang kepada orang awam untuk merasai sendiri pengalaman berada di sempadan angkasa dengan bayaran antara £157,029 hingga £235,544 (RM937,000 hingga RM1.4 juta).
Penerbangan tersebut hanya memakan masa selama 11 minit, termasuk empat minit fasa apungan tanpa graviti yang membolehkan kru menikmati pemandangan kosmos kira-kira 65 batu dari permukaan bumi.
Katy dalam satu wawancara bersama majalah Elle meluahkan keterujaannya, sambil menyatakan dia sudah lama menyimpan hasrat ke angkasa sejak hampir dua dekad lalu.
“Saya pernah mengkaji pelbagai pilihan penerbangan komersial ke angkasa. Malah, ketika Blue Origin mula bercakap tentang pelan perjalanan ke angkasa, saya terus berkata, ‘Daftarkan saya! Saya orang pertama dalam senarai’,” katanya.
Menurut penyanyi itu, pengembaraan ke angkasa ini didedikasikan buat anak perempuannya, Daisy yang berusia empat tahun.
Sebelum ini, Blue Origin telah menerbangkan pelakon Star Trek, William Shatner; bintang bola sepak Amerika Michael Strahan; Laura Shepard Churchley iaitu anak kepada angkasawan, Alan Shepard, dan Bezos sendiri.
Sumber: Utusan , Harian Metro