Empat anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Teluk Intan (HTI) dan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh akibat kemalangan konvoi pada 13 Mei lalu, kini telah dibenarkan keluar hospital.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Bakri Zainal Abidin dalam kenyataan memaklumkan, mereka merupakan antara 18 anggota yang terlibat dalam insiden membabitkan konvoi trak FRU dari Teluk Intan ke Ipoh.
Menurut laporan terkini pada jam 6 petang ini, kesemua mangsa telah pun dibenarkan keluar, menandakan tiada lagi pesakit berada di ICU atau wad biasa di hospital berkenaan.
Menurut laporan Buletin TV3, anggota terakhir yang dibenarkan keluar petang ini ialah Koperal Mohd Izwan Ishak dan Sarjan Mazlan Mat. Dua lagi, Koperal Haslizal Mohd Ali dan Koperal Syed Isfan Syed Mohammad, dibenarkan keluar lebih awal masing-masing pada 29 dan 28 Mei lalu.
Kesemua mereka sebelum ini dimasukkan ke ICU akibat kecederaan serius. Lima lagi anggota turut dibenarkan keluar secara berperingkat dari 13 Mei hingga 21 Mei lalu, dan kini menjalani proses pemulihan susulan.
Untuk rekod, kemalangan itu mengorbankan sembilan anggota FRU selepas trak yang mereka naiki terbabas dan terbalik ketika dalam perjalanan menyertai latihan di Ipoh.
Baca: Masalah Stereng Punca Lori Bawa Batu Rempuh Trak FRU