Suasana sayu menyelubungi ketibaan rombongan konvoi 13 jenazah penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di pekarangan Masjid Hadhari, Jertih awal pagi tadi.
Konvoi van yang membawa jenazah berkenaan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Perak tiba di pekarangan masjid sekitar jam 2.55 pagi tadi dan selesai disembahyangkan pada jam 3.15 pagi.
Lokasi itu juga katanya menjadi tempat para penuntut berkumpul sebelum berpisah dengan keluarga untuk menaiki bas pulang ke universiti demi menuntut ilmu.
Dalam pada malam semalam, mereka sekali lagi dikumpulkan di lokasi yang sama namun sebagai jenazah dan kepergian mereka pula kali ini adalah untuk selama-lamanya ke negeri abadi.
Artikel berkaitan: Nahas Bas Pelajar UPSI: Penumpang Dakwa Bas Bau Hangit, Gerak Laju & Terhuyung-hayang
Artikel berkaitan: Nahas Bas Pelajar UPSI: Mangsa Keluar Sendiri Selamatkan Diri, Ada Yang Terc*mpak
3,000 jemaah laksana solat jenazah
Menurut laporan, orang ramai mula berkumpul seawal jam 12 malam menunggu ketibaan konvoi yang bergerak dari Ipoh, Perak.
Seramai lebih 3,000 orang difahamkan melaksanakan solat jenazah yang diimamkan oleh Exco Penerangan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Kelihatan beberapa ahli keluarga yang tidak dapat menahan sebak melihat jenazah mangsa dibawa masuk ke dalam kawasan masjid untuk disembahyangkan.
Semua jenazah akan dikebumikan di kampung masing-masing pada pagi ini.
Dalam pada itu, kelihatan juga ramai penduduk setempat datang memberi penghormatan terakhir kepada mangsa yang terkorban dalam nahas itu dan melahirkan rasa terkejut dengan kejadian yang menimpa.
Sama-samalah kita sedekahkan Al Fatihah buat mangsa-mangsa. Semoga keluarga mereka diberikan kekuatan dalam menghadapi dugaan berat ini.
Sumber: Harian Metro