Sebuah pesawat Boeing 737 yang dalam penerbangan dari China ke Tokyo mengalami detik mencemaskan apabila menjunam hampir 26,000 kaki dalam tempoh kurang 10 minit, sehingga memaksa juruterbang menghantar isyarat kecemasan kepada Pusat Kawalan Trafik Udara (ATC).
Memetik laporan Financial Express, insiden yang melibatkan pesawat Japan Airlines JL8696 itu berlaku pada Isnin lalu, membawa seramai 191 penumpang dan anak kapal. Pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Pudong, Shanghai menuju ke Tokyo, namun pada jam 6.53 petang waktu tempatan, ia mengalami gangguan teknikal dan mula menurun secara mendadak daripada ketinggian 36,000 kaki ke hanya sekitar 10,500 kaki.
Ketika tekanan kabin menurun secara drastik, topeng oksigen mula jatuh dari bahagian atas tempat duduk. Beberapa anak kapal dilaporkan menjerit sambil menggesa penumpang segera memakai topeng tersebut demi keselamatan.
Ekoran insiden itu, pesawat dialihkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai di Osaka dan berjaya melakukan pendaratan kecemasan dengan selamat pada jam 8.50 malam. Tiada kecederaan serius dilaporkan.
Pihak berkuasa kemudiannya mengesahkan bahawa sistem tekanan kabin pesawat telah mengeluarkan amaran, menandakan kemungkinan berlaku kerosakan pada sistem itu semasa pesawat menjunam.
Penerbangan itu dioperasikan oleh Spring Airlines Japan melalui kod perkongsian dengan Japan Airlines. Syarikat tersebut ditubuhkan pada 2012 sebagai usaha sama antara Spring Airlines dari Shanghai dan Japan Airlines, sebelum Japan Airlines mengambil alih majoriti pemilikan pada 2021.
Baca: Juruterbang Muda Ditahan, Lakukan Penerbangan Tanpa Kebenaran Ke Antartika